Oleh Syazana Hasanudin
KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini mencabar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertanding di kawasan Kuala Lumpur dalam pilihan raya akan datang.
“Kita cabar dia bertanding di sini. (Ku Nan) jangan ‘menyorok’ di Putrajaya,” kata Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ia susulan keengganan Ku Nan menandatangani pewartaan draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 sedangkan ia telah mengalami proses yang panjang sejak dilancarkan pada 2008.
Menurut Teresa, pelan itu amat penting bagi memastikan Kuala Lumpur dibangunkan secara lestari tanpa meminggirkan kualiti hidup warga kota.
Lebih-lebih lagi, ibu kota kini dilanda pembangunan melampau sejak Ku Nan menjadi Menteri Wilayah pada 2013, dakwanya.
“Cara Ku Nan ‘ratakan’ Kuala Lumpur hari ini, seolah-olah UMNO risau tiada hari esok untuk mereka.
“Setiap kawasan lapang dibanjiri dengan pembangunan. Contohnya, seperti di Sri Petaling. Kawasan kecil seperti itu dia penuhkan dengan bangunan dan menyusahkan penduduk kota.
“Perkara sama berlaku di Jalan Kelang Lama, Taman Desa dan OUG di Seputeh,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai mendakwa banyak penyelewengan berlaku melibatkan pembangunan di Kuala Lumpur, termasuk pemberian tender secara tertutup.
“Lebih 100 plot tanah dijual tanpa pengetahuan umum. Malah, tidak ada tender terbuka seperti di Pulau Pinang dan Selangor. Amalan dasar tertutup ini merugikan rakyat kerana pemaju dipilih tanpa ada persaingan sihat,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan