Negara itu juga akan memperkenalkan GST termasuk kenaikan 50% harga minyak, sedangkan negara itu adalah negara pengeluar minyak dunia
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak berkata langkah kerajaan mewujudkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan satu amalan rasuah seperti didakwa oleh bekas perdana menteri, Dr MahathirMohamad.
Malah, Najib berkata, kerajaan Arab Saudi turut menyalurkan bantuan kewangan untuk membantu rakyatnya yang misikin, sekali gus membuktikan tindakan Malaysia memberi bantuanseumpama itu melalui BR1M bukan satu rasuah.
Katanya, berdasarkan maklumat beberapa menteri kabinet Arab Saudi dalam rombongan lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia, kerajaan negara itu memperkenalkan beberapa langkah bagi membantu rakyatnya yang susah.
“Ini termasuk langkah memasukkan wang terus ke dalam akaun bank penerima yang memerlukan. Kalau Dr Mahathir kata BR1M itu rasuah, jadi apa yang kerajaan Arab Saudi buat?. Kalau kita (kerajaan) buat ada orang cakap itu rasuah.
“BR1M ini bukan rasuah (sebaliknya) ia adalah untuk menolong rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden MyPPP, M.Kayveas.
Beberapa anggota kabinet kerajaan Arab Saudi kini berada di Kuala Lumpur sempena lawatan negara empat hari Raja Salman ke Malaysia yang bermula semalam.
Dr Mahathir dan puak pembangkang sebelum ini telah beberapa kali menghasut rakyat dengan menyatakan bahawa pemberian BR1M itu merupakan rasuah.
Berkongsi intipati perbualannya dengan anggota kabinet kerajaan Arab Saudi, Najib turut menyatakan kerajaan Arab Saudi akan turut memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Arab Saudi tidak lama lagi.
Justeru, katanya, langkah kerajaan memperkenalkan GST sejak April 2015 bukanlah satu langkah yang salah memandangkan Arab Saudi yang merupakan negara yang kaya turut akan melaksanakan perkara sama kepada rakyat mereka.
Selain itu, perdana menteri turut menarik perhatian bahawa kerajaan Arab Saudi yang merupakan negara pengeluar minyak terbesar dunia telah menaikkan harga minyak sebanyak 50% di negara mereka.
“Harga minyak Arab Saudi naik 50%. Kita riuh rendah kalau naik 20 hingga 50 sen pun,” katanya.
Justeru, Najib mengingatkan semua pihak supaya tidak mengelirukan rakyat mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan kerana ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan