PETALING JAYA – Para cikgu selain guru besar tidak berkuasa
untuk merotan murid dan perlu memikul tanggungjawab jika berlaku
kontroversi selepas guru mengambil tindakan denda itu.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Huang Shi Fa
berkata, selain guru besar, hanya guru disiplin atau penolong kanan
yang diberi kuasa oleh guru besar boleh merotan.
“Bukan sahaja tidak boleh merotan, segala tindakan denda secara
fizikal oleh cikgu termasuk memulas telinga murid juga adalah dilarang,”
katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya, para pendidik juga diberi penerangan mengenai perkara
itu dan pihak sekolah mengharapkan guru mengambil perhatian supaya tidak
hilang kawalan dan merotan murid.
“Kami faham cikgu pun manusia dan mereka mempunyai emosi sendiri,
Mereka mungkin berdepan masalah dalam proses pengajaran dan hilang
kawalan lalu merotan murid.
“Tetapi kami betul-betul berharap guru mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Guru besar itu menyatakan perkara tersebut semasa diminta mengulas mengenai kematian seorang pelajar tahfiz yang dipukul warden.
Shi Fa mengakui pihak sekolah masih menerima aduan-aduan ibu bapa yang meminta anak-anak mereka tidak dirotan.
“Kami juga memaklumkan guru bahawa semua masalah yang timbul akibat merotan perlu ditanggung cikgu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk
Chong Sin Woon berkata, pihaknya tidak bersedia untuk melarang tindakan
merotan secara sepenuhnya di sekolah.
Beliau bagaimanapun berkata, tindakan menegur dan kaunseling mesti dijadikan pilihan utama sebelum rotan dikenakan.
“Masa ini tidak (untuk melarang rotan), tetapi kami bersedia
mengkaji semula jika orang ramai mempunyai pandangan lain,” katanya.
Sin Woon berkata, masyarakat secara umumnya masih mempunyai pandangan berbeza mengenai tindakan merotan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan