Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Memang
benar kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika PAS
sedang sibuk mengendalikan Muktamar ke-63nya di Kota Sarang Semut, Kedah
minggu lalu, ada pihak yang ‘lebih sibuk’ berusaha mahu mengganggu
kelancaran sidangnya.
Penemuan
kertas siaran berukuran saiz A4 yang bertajuk “Zuhud PAS???” menyerang
dua pemimpin PAS berhubung pemilikan kenderaan lebih mewah selepas
menjadi ahli parlimen dan patung “Lebai Monyet” dianggap Takiyuddin
sebagai serangan psikologi.
“Kami kenal siapa buat tu sama ada guna poster oren, pamplet sebaran di
dalam sisipan akhbar itupun kami kenal dan kami tidak terkejutlah
kerana kita mengenali kawan kita lebih daripada mengenal musuh kita.
“Ia tindakan terdesak pihak berkenaan untuk cuba ganggu perjalanan muktamar kita,” katanya.
Takiyuddin berkata, penemuan patung monyet berserban di Jalan Tandop,
terletak kira-kira lima kilometer dari Kompleks PAS juga adalah serangan
psikologi untuk mengganggu perjalanan muktamar.
“Itu cubaan ganggu, tapi saya nampak ahli kita tenang, tidak jadi emosi
dan kita terima itu sebagai serangan psikologi dari mereka yang ingin
timbulkan suasana tidak tenang mungkin untuk pengaruhi keputusan
pemilihan,” katanya.
Jika penilaian Takiyuddin berhubung motif percubaan sabotaj itu sekadar
mahu mengganggu dengan memberi tekanan psikologi terhadap ahli akar
umbi PAS itu benar, bersyukurlah ahli-ahli muktamar tidak emosi dan
dapat menerimanya dengan tenang.
Mungkin ini boleh dibaca sebagai satu kejayaan dan hasil didikan konsep
politik matang dan sejahtera yang dianuti PAS. Namun persoalannya
adakah itu satu hakikat?
Ini kerana di sekitar Alor Setar ada pula kain-kain rentang yang
memancarkan mesej yang kurang “bahagia” daripada pihak yang mendakwa
“penyokong-penyokong kuat PAS Kedah”.
Beberapa kain rentang dilihat digantung di laluan Alor Setar-Yan menuju
muktamar tahunan PAS. Pada kain rentang berkenaan dipaparkan wajah tiga
wakil rakyat PAS yang didakwa ‘Harum-manis’ dengan gesaan supaya keluar
parti.
Tiga pemimpin yang didakwa ‘Luar Hijau, dalam oren’ itu merujuk kepada
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Adun Anak Bukit, Datuk
Amiruddin Hamzah serta Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.
Kain rentang yang tertera tulisan ‘Sila Keluar PAS’ ditemui digantung di Jalan Putra.
Bagaimanapun tidak dipastikan pihak mana bertanggungjawab menggantung
kain rentang berkenaan. Yang ada adalah catatan ia daripada “penyokong
kuat PAS Kedah”.
Mahfuz berkata, beliau tidak berkecil hati dengan ‘gurauan’ itu,
sebaliknya tetap bersemangat untuk menyedarkan pimpinan dan ahli PAS
tentang pentingnya parti itu bersama Pakatan Harapan.
“Terima kasihlah pada orang yang buat. Mungkin mereka yang gantung kain
rentang itu termakan desakan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah dan disokong presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu halau
saya keluar parti,” katanya.
Menurut Mahfuz, gesaan itu tidak sedikitpun memberi kesan terhadap dirinya.
“Walaupun pimpinan PAS mahu memutuskan hubungan dengan PKR dan menolak
kerjasama dengan Pakatan Harapan, namun saya percaya majoriti ahli PAS
mahu bersama Pakatan Harapan,” katanya.
Sementara Mohd Nasir pula menyifatkan ia perkara biasa dan tidak sedikitpun terasa hati.
“Tak sangka masih ada segelintir yang ingat saya dengan cara sebegitu.
Saya tak tengokpun lagi cuma tahu dari Whatsapp dan Facebook,” katanya.
Perihal
kancah politik dalaman di antara Mahfuz Omar dan pimpinan PAS yang
dianggap ‘duri dalam daging’ PAS itu bukan rahsia lagi. Namun agak sukar
untuk menerima hakikat bahawa kain-kain rentang berkenaan digantung
sendiri oleh penyokong Mahfuz.
Jika jari boleh dituding kepada ‘musuh-musuh dalam selimut” yang boleh
menyusup dalam muktamar PAS untuk menyebarkan risalah memburukkan dua
pemimpin PAS, maka tidaklah payah untuk merumuskan bahawa isu kain
rentang bukan kerja penyokong Mahfuz.
Bila ada serangan dan tindak balas sedemikian maka ia membayangkan
bahawa tarbiyah untuk menjadikan ahli-ahli PAS matang dan melalui cubaan
politik dengan sejahtera masih belum begitu berkesan.
Malangnya, untuk mencuri perhatian umum menggunakan kempen “hanyir”
sedemikian adalah “usang dan tidak bertamadun”. Mungkin ada yang
berpendapat itu isu kecil namun harus diingat jalan yang hendak
direntasi PAS jauh lebih mulia dan terhormat dari cara ini.
PAS
mahu jadi ‘parti suci’ dalam mendepani konflik politik nasional. PAS
tidak mendendami sesiapa, tidak rasis atau cauvinis. PAS cuma tidak mahu
mana-mana pihak memperdaya dan cuba menghina Islam dan Melayu. Jika
demikian nilai budi PAS, ia mesti dipamerkan segera.
Namun bila masih ada politik cara lama begini, Haji Hadi dan pimpinan
PAS hari seharusnya menggandakan usaha tarbiyah dari peringkat bawah
lagi bahawa akhlak dan idealism perjuangan PAS adalah jauh lebih mulia
daripada seteru dan saingannya.
Apabila sifat budiman ini dipancarkan dari peringkat akar umbi hingga
ke aras pimpinan tertinggi, barulah PAS boleh dipercayai mampu
menyebarkan kematangan berpolitik nan sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan