Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Gerakan Pulau Pinang menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng
mengikut jejak langkah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk
Adam Rosly yang bercuti daripada semua jawatan di dalam parti itu
selepas terpalit dengan beberapa kes berkaitan rasuah.
Setiausahanya, Hng Chee Wei berkata Guan Eng tidak sepatutnya terus
‘berdegil’ dengan menolak gesaan yang meminta beliau bercuti sementara
sehingga perbicaraan kes membabitkannya selesai.
“Jadi dia sebagai Ketua Menteri ataupun semua penjawat awam jika
bersabit dengan mana-mana siasatan haruslah mengambil cuti sehingga
dibuktikan tidak bersalah.
“Memang kes dia ni bila dah dibawa ke mahkamah, memang ada banyak
pemimpin terutama dari Barisan Nasional (BN) dan juga DAP menyuruh untuk
dia mengambil cuti," katanya kepada Antarapos.
Guan Eng yang turut disabitkan dengan beberapa kes rasuah, sehingga
kini dilihat berkeras hati untuk melepaskan jawatan beliau atau bercuti
daripada memegang sebarang jawatan dalam parti, sekalipun wujud desakan
daripada ahli parti sendiri.
Untuk rekod, Setiausaha Agung DAP itu menghadapi dua pertuduhan rasuah
berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan;
serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Dalam pada itu tegas Chee Wei, Guan Eng perlu berhenti bersikap
‘menutup mata’ terhadap kesalahan yang dilakukan olehnya sendiri dan
perlu dilihat lebih berprinsip.
“Sebagai pemimpin berprinsip, tidak harus selalu menuding jari pada
orang, orang lain yang selalu salah dan bila diri sendiri dia pula
selalu betul, kena ada prinsip yang betul.
“Dia sebagai Ketua Menteri ataupun rakyat biasa, sepatutnya sama sebab
dari segi undang-undang tiada pilih kasih,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Adam yang didakwa atas enam pertuduhan memberi keterangan
palsu ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
berhubung kekayaan luar biasa miliknya, telah mengambil keputusan untuk
bercuti daripada kesemua jawatan dalam parti itu.
Surat pemberitahuan itu menurutnya sudah ditulis kepada Presidennya,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua cabang parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan