ANTARAPOS.COM
PUTRAJAYA: Pembangunan metropolis bertaraf dunia, Malaysia Vision
Valley (MVV) di Negeri Sembilan, mampu menarik pelaburan lebih RM290
bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
MVV yang meliputi kawasan seluas 153,000 hektar, merangkumi daerah
Seremban dan Port Dickson serta menjadi sebahagian daripada Greater
Kuala Lumpur, akan dibangunkan secara berfasa sehingga 2045, katanya,
lapor Bernama.
Najib yang juga menteri kewangan berkata MVV dibahagikan kepada lima
kluster strategik iaitu Central Business District, Nature City, Edu-Tech
Valley, Tourism and Wellness dan New Liveable Township.
"MVV merupakan pembangunan yang terancang, lestari dan inklusif. Ia
memastikan semua lapisan masyarakat menikmati faedah pembangunan ini,"
katanya, sambil menambah pembangunan MVV dilakukan secara usaha sama
pintar pihak awam dan swasta.
Najib berkata demikian pada majlis menandatangi perjanjian untuk
pembangunan MVV melibatkan Sime Darby Property Bhd, Brunsfield
Development Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan, yang beliau saksikan.
Pemaju utama MVV ialah Malaysia Vision Valley Holdings Sdn Bhd.
Pada majlis itu, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) diwakili
Pengarah Urusannya, Datuk Jauhari Hamidi; Brunsfield Development Sdn Bhd
(Brunsfield) oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Gan Thian Leong manakala
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya,
Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan