Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Ahli PAS seumur hidup, Ismail Mina Ahmad menggesa Majlis
Syura Ulama menyegerakan keputusan putus hubungan dengan PKR.
"Saya sokong, saya sudah lama sebut perkara ini, dan Alhamdulillah ia dilaksanakan PAS. Saya sangat bersetuju.
"Majlis Syura Ulama perlu mempercepatkan sebab keputusan muktamar
jelas. Tak perlu ditangguh. Perkara yang baik patut disegerakan, memang
baik diputuskan," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Muktamar PAS ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah berakhir semalam
bersetuju menerima usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR,
atas alasan parti itu sudah beberapa kali mengkhianati perjanjian
kerjasama.
Keputusan muktamad diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS yang
dikatakan bakal menetapkan satu tarikh bagi bermesyuarat, dalam
menentukan hala tuju tahaluf siyasi PAS dengan PKR.
Ia mengambil kira kerjasama PKR dengan Amanah dan DAP menerusi Pakatan
Harapan (PH), kegagalannya menyokong usaha PAS memperkasakan bidang
kuasa Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 dan siri-siri kenyataan
yang dianggap biadap sehingga menjejaskan hubungan dua parti.
Kesemua perwakilan di muktamar itu bingkas menyatakan persetujuan
dengan bangun dan melaungkan takbir ketika usul dibuka untuk perbahasan,
dan kemudiannya disahkan oleh pengerusi tetap.
Semalam Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan
adalah satu penghinaan kepada perwakilan PAS jika Majlis Syura Ulama
gagal menghormati gesaan untuk putus hubungan dengan PKR.
Mengulas hal sama, Ismail percaya Majlis Syura Ulama mempunyai justifikasi tersendiri dan 'memahami' kehendak ahli-ahli PAS.
"Ahli-ahli PAS sedar bagaimana mereka telah dan sedang dipermainkan
oleh DAP dan PKR. Oleh demikian sebagai salah satu parti tertua di
Malaysia dan mempunyai pelbagai pengalaman, mereka semestinya mengambil
satu keputusan yang jelas mengenai bagaimana hendak melaksanakan hasrat
perlembagaan mereka untuk membuang segala halangan yang boleh
melambatkan proses yang ada di dalam perlembagaan mereka.
"Yang mana halangan terbesar adalah PKR dan DAP, bagaimana kita lihat
RUU 355 dan banyak lagi yang tidak dapat pergi jauh apabila masih
kekalnya tahaluf siyasi PKR dengan DAP," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan