Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Pemimpin Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali
menganggap isu kekayaan ‘luar biasa’ yang cuba dikaitkan dengan beliau
baru-baru ini sebagai perbuatan 'kebudak-budakan’.
Katanya, perkara berkenaan sangat remeh untuk difikirkan memandangkan ia sebahagian daripada asam garam di dalam dunia politik.
“Remeh bila mempertikaikan apa yang manusia miliki tu, isu remeh dan bukan isu politik, kebudak-budakan.
“Politik ni biasa lah dia akan ada macam-macam, cuma atas kita nak
layan atau tak layan. Kita orang politik ini fikir tentang negara je,
isu besar negara, tak fikir benda kecil macam tu,” kata beliau.
Muktamar PAS yang berakhir semalam dicalar dengan penyebaran poster pemimpin PAS tertentu dengan gaya hidup mewah.
Poster berkenaan memaparkan Khairuddin, dan Ahli Parlimen Temerloh,
Nasrudin Hassan dengan gambar kereta mewah yang dimiliki mereka.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata beliau tidak akan mengambil apa-apa
tindakan terhadap individu yang mendalangi penyebaran fitnah mengenai
beliau namun meminta supaya individu berkenaan segera bertaubat.
“Tak payah lah, bertaubat sajalah.”
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
bagaimanapun mengetahui pihak yang melakukan perkara tersebut dan
menganggap ia sebagai satu tindakan provokasi terhadap parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan