KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen
untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu langkah
“mencuci dosa” yang dilakukannya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai
yang menganggap bekas perdana menteri itu ‘menganiaya’ timbalannya
ketika beliau berkuasa.
“Kini apabila beliau berada di luar kekuasaan dan pembasuhan dosa ini
mahu dilakukan, maka beliau mengambil langkah untuk tandatangan petisyen
berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kembara
Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Ahad.
Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun,
menandatangani petisyen itu ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-12 di sini pada Sabtu, bersama isteri Tun
Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Ahmad Zahid berkata petisyen tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan merupakan saluran yang tepat.
“Kita mengetahui bahawa satu surat rayuan telah dikemukan Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Anwar memohon supaya Lembaga
Pengampunan memberikan pengampunan kepada Anwar.
“Mungkin cara itu lebih diterima kerana yang boleh menentukan seseorang
itu dilepaskan ialah melalui Lembaga Pengampunan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan menyerahkan kepada Lembaga Pengampunan untuk membuat keputusan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat.
Turut hadir pada majlis hari ini, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli
Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan