Oleh Amin Iskandar
GABUNGAN
bersama Bersatu sudah selesai tetapi bagi PKR, terdapat kebimbangan
perpecahan dalaman yang akan menjejaskan peluang parti terbesar dalam
Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14).
Walaupun
PKR merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang yang sudah
tersusun, pergaduhan secara terbuka di antara pemimpin utamanya
membimbangkan ahli.
Pemimpin akar umbi berkata, kesannya dapat
dilihat dengan maklumat bercanggah dan terdapat persoalan sama ada PKR
dapat mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya sebelum ini
jika tidak bersatu.
Perpecahan ketara dilihat di antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.
Tahun
lalu, Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan pentadbiran Azmin
yang merupakan menteri besar Selangor.
Azmin bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkannya. Sehingga hari ini, masih belum jelas apakah status kes ini.
Walaupun pergaduhan secara terbuka sudah tidak lagi kedengaran, tetapi kesan perpecahan masih terasa di dalam PKR.
Dikatakan ini merupakan punca mengapa PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu terpaksa menangguhkan pengumuman senarai kepimpinan dan struktur selama lebih dua bulan.
Sesetengah
pemimpin akar umbi mengatakan puncanya ialah apabila penyatu kepada
pemimpin PKR Anwar Ibrahim dipenjarakan, sementara ada juga yang
berpendapat pemimpin parti haruslah mengenepikan perbezaan.
Sebelum
Anwar dipenjarakan pada 2015 disebabkan dakwaan liwat buat kedua
kalinya, beliau mengetuai PKR yang bertanding di 99 kerusi Parlimen
pada PRU13 dan memenangi 28 kerusi.
Sebelumnya pada PRU12, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, terbesar dalam sejarah parti yang ditubuhkan sejak 1999 itu.
Bagaimana mahu berdepan PRU14?
Pengarah
Pilihan Raya PKR Kedah Ridhwan Razali berpandangan perpecahan berlaku
di kalangan pemimpin tertinggi partinya disebabkan “kuasa penenang”
iaitu Anwar kini terpenjara.
“Walaupun kadang-kala Anwar dapat
ke mahkamah dan berjumpa pimpinan PKR, ia tidak cukup.
Berbeza jika
beliau berada di luar dan memimpin parti,” kata Ridhwan yang juga ketua
Pemuda PKR Kedah kepada The Malaysian Insight.
“Kebimbangan
saya ialah apakah polemik di antara pemimpin tertinggi ini akan
berpanjangan sehingga berlakunya kekeliruan untuk menghadapi PRU14?”
Setiausaha
PKR Cabang Kelana Jaya Najwan Halimi berkata, perpecahan pemimpin di
peringkat atasan menyebabkan kekeliruan di kalangan pemimpin akar umbi.
“Nak dengar siapa? Nak ikut siapa? Sudah tentu perpecahan memberikan kesan kepada akar umbi di bawah.
“Ahli
di bawah keliru. Arahan berbeza-beza. Nasib baik di Selangor program
kerajaan negeri aktif, jadi penggerak PKR di peringkat bawah turut
menjadi aktif,” katanya.
Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya Najwan
Halimi bimbang perpecahan pemimpin atasan menyebabkan orang bawahan
keliru kerana menerima arahan berbeza. – Gambar The Malaysian Insight,
22 Julai 2017.
Menurut Najwan, di peringkat akar umbi mereka terus
melakukan kerja seperti biasa tanpa mahu melibatkan diri dengan
pertengkaran pemimpin di peringkat nasional.
“Pimpinan PKR
peringkat akar umbi perlu secara konsisten turun mendekati rakyat
dengan membantu pelaksanaan dasar kerajaan negeri seperti Skim Peduli
Sihat dan program kebajikan lain,” katanya.
Pengarah Komunikasi
PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa berkata, “perbezaan pendapat yang
terlalu besar” dalam kalangan pemimpin utama parti itu menyebabkan
kadangkala berlakunya pertindihan maklumat.
“Apa yang saya lakukan, apabila terdapat maklumat atau arahan bertindih, saya akan rujuk semula kepada PKR Pusat,” katanya.
“Apabila
berlaku perbezaan pendapat yang besar di kalangan pemimpin, sudah
pasti akan berlaku konflik. Tetapi saya percaya apabila dekat dengan
pilihan raya nanti mereka akan kembali bersatu.”
Naib Ketua PKR
Cabang Petaling Jaya Utara Fazly Razaly mengatakan perpecahan
menyebabkan kesatuan dalam kalangan ahli terjejas kerana mereka juga
merupakan pengikut kepada pemimpin nasional.
Untuk memastikan PKR terus relevan, beliau menegaskan pemimpin akar umbi dan ahli harus fokus menyelesaikan masalah rakyat.
“Kita
tidak boleh menyerang isu nasional sahaja. Kita kena fikir apa yang
rakyat mahu. Apa yang kita boleh beri atau apa yang kita akan
selesaikan,” kata Fazly yang juga ahli Majlis Daerah Kuala Langat.
Bagi
Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Abdul Hamid, perpecahan
berlaku kerana “perbezaan pendapat yang agak ketara” tidak diuruskan
dengan baik.
“Saya mencadangkan agar ‘Council of Elders’ yang
terdiri daripada pemimpin lama parti dan dihormati kedua-dua kumpulan
ditubuhkan supaya perbezaan pandangan yang ketara di antara pemimpin
PKR dapat diuruskan,” katanya.
Nizam mencadangkan agar
pemimpin-pemimpin parti itu agar kembali ke asas perjuangan PKR sejak
ditubuhkan sejak 1999 iaitu reformasi dan membela nasib rakyat.
“Yang menyedihkan, perbezaan itu hanya sedikit berbanding dengan persamaan di antara mereka.”
Perbezaan bermakna demokrasi 'hidup'
Pengarah
Strategi PKR Sim Tze Tzin bagaimanapun menafikan partinya mengalami
perpecahan sebaliknya mengatakan perbezaan pendapat merupakan perkara
biasa dalam amalan demokrasi.
“Memang terdapat banyak perbezaan pendapat. Kita bukan macam Umno, bila Najib Razak cakap semua hanya ikut.
“Umno
hanya ikut satu suara sahaja, kita ada proses demokrasi,” kata ahli
Parlimen Bayan Baru itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight
baru-baru ini.
Sim mengakui pada waktu tertentu, memang terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PKR dan ia ketahui umum.
“Tetapi ini merupakan sebahagian daripada proses di mana ahli politik mengalami proses kematangan.
“Mereka
perlu belajar daripada kesalahan. Kadang-kala kita bergaduh secara
terbuka tetapi kita belajar daripada itu. Cara ini tidak betul dan
mereka perlu
Berhubung dengan perbezaan pendapat di antara
personaliti seperti Azmin dan Rafizi, Sim berkata kedua-dua pemimpin
itu mempunyai kelebihan masing-masing.
“Azmin ada kekuatan
dalam isu Melayu, hubungan dengan istana, pengalaman dalam pentadbiran
negeri, hubungan dengan penjawat awam, dan isu luar bandar.
“Rafizi pula mempunyai pengikut yang terdiri daripada golongan intelek, pelbagai kaum, kelas menengah dan boleh memahami isu.”
Mengenai
tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) dimulakan sesetengah pemimpin PKR
untuk memecahkan parti, Sim berkata ia merupakan langkah strategik
untuk mendapatkan sokongan akar umbi.
“Nurul Izzah ada NGO sendiri, Change Makers. Rafizi ada Invoke. Masing-masing perlu buat kerja.
“Saya tidak fikir ini merupakan perkara tidak baik atau ‘parti di dalam parti’,” katanya mengulas kenyataan Ketua PKR Cabang Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong yang menyelar Rafizi kerana cuba memecah belahkan parti dengan menubuhkan Invoke
Tiada ulasan:
Catat Ulasan