Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Md Yusof
KOTA BAHRU: Sasaran kerajaan negeri Kelantan untuk peserta Himpunan
Pertahankan Islam hadir hingga melimpah ruah keluar Stadium Sultan
Muhammad IV berjaya dicapai.
Dianggarkan lebih 20,000 peserta dari seluruh pelusuk negara hadir bagi
menyatakan sokongan kepada usaha mempertahankan agama Islam yang
mutakhir ini semakin menjadi sasaran musuhnya.
Himpunan yang berlangsung selama 3 jam bermula 9.00 malam itu juga
menampilkan ramai pimpinan tertinggi PAS, wakil kerajaan negeri Kelantan
dan beberapa wakil dari luar negara seperti Indonesia, Palestin, Turki
dan lain-lain.
Acara dimulakan dengan laungan takbir diketuai oleh Ketua Penerangan
PAS, Nasruddin Hassan Tantawi sebanyak 27 kali sebagai simbolik kepada
kejayaan PAS mempertahankan negeri itu selama 27 tahun.
Himpunan tersebut diadakan bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada
umat Islam seluruh dunia dalam usaha melawan ancaman terhadap agama
Islam di seluruh Rantau Asia, khususnya di Malaysia.
Hadirin yang hadir dibentangkan fakta demi fakta betapa umat Islam di
seluruh dunia kini ditindas dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya
termasuk tindakan tentera Zionis Israel yang menutup Masjid Al-Aqsa.
Kemunculan Hadi jadi tumpuan hadirin
Kemunculan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi tumpuan
hadirin yang datang berikutan ia kemunculan kali pertamanya dalam
himpunan berskala besar, selepas pemimpin itu menjalani pembedahan
jantung beberapa bulan lalu.
Hadi dalam ucapannya menceritakan bagaimana negara Islam
dipecah-pecahkan kepada daerah yang lebih kecil oleh orang Yahudi dan
tindakan itu masih berleluasa hingga hari ini.
Justeru beliau menyeru agar Islam harus bersatu padu dan mempertahankan Islam daripada khianat musuhnya.
"Himpunan kita ini adalah simbol kebangkitan. Marilah kita sama-sama
dengan bersemangat, memohon keberkatan daripada Allah S.W.T. Kita
bersama dengan obor Islam, cahaya yang tak pernah dipadamkan. Tegakkan
Islam, semua selamat.
"Allah sudah menjadikan Islam itu tidak boleh dipadamkan apinya. Akan
tetap bernyala obornya dimana sahaja," ujarnya tegasnya diiringan takbir
daripada hadirin yang datang.
Hadi sebaik sahaja selesai berucap terpaksa meninggalkan pentas pidato berkenaan atas sebab-sebab kesihatan.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dalam
ucapannya pula berkata himpunan Ijtima' Perpaduan Ummah yang
berlangsung selama tiga hari di Kelantan adalah bukti betapa umat Islam
di luar sana yang ditindas musuhnya, masih punya saudara seagama
dengannya, yang sentiasa teguh menyokong mereka mempertahankan Islam.
"Dengan
adanya Ijtima' Antarabangsa ini, ia InsyaAllah mempunyai beberapa
peratus kesedaran agar umat Islam di seluruh dunia bahawa kita perlu
meningkat usaha yang amat murni ini kepada negara Islam.
"Tuan-tuan semua adalah hamba-hamba yang beriman kepada Allah yang
bekerja keras untuk terus memberi sokongan kepada umat Islam dan
mempertahankan kerajaan Islam, insyaAllah," katanya yang terus diiringi
takbir oleh hadirin yang hadir.
Himpunan yang berakhir jam 12 tengah malam itu menjadi program kemuncak
kepada Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-4 yang berlangsung
selama tiga hari sejak Khamis lepas.
Pelbagai program disusun atur sepanjang Ijtima' ini antara lainnya
Forum Perdana, Kuliah Subuh, Kulian Maghrib, Konferens Perpaduan Ummah,
konsert nasyid, ceramah bersama penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus
(UAI) dan kemuncaknya, Himpunan Pertahankan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan