KOTA BHARU: Umat Islam seluruh dunia perlu bersatu bagi mempertahankan
Islam daripada direndah-rendahkan pihak luar, demikian tegas Naib Ketua
Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata pada masa ini umat Islam "diratah" di seluruh dunia
terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia
Barat yang lain.
"Sekarang umat Islam diratah di seluruh dunia... umat Palestin; mereka
adalah penduduk Baitulmaqdis, penjaga Baitulmaqdis. Sekiranya umat
bersatu cahaya Islam tidak akan terpadam, " katanya.
Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika menyampaikan
pidato pimpinan Islam sedunia sempena malam kemuncak Ijtima Antarabangsa
Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 yang diadakan selama tiga hari bermula
Khamis lepas.
Turut hadir Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Naib
Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika membacakan resolusi 20 perkara yang
dicapai pada ijtima itu, berkata ijtima antarabangsa itu mengecam
sekeras-kerasnya tindakan terkutuk rejim Zionis dengan penutupan
Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.
Resolusi lain, beliau berkata menangani permasalahan dan isu umat Islam
yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim, mewujudkan
permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar
kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan dapat menaungi umat
Islam yang lemah.
Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyah di kalangan
masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh untuk memecah
belahkan kesatuan umat Islam, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan