HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Julai 2017

Ridzuan gagal pertahan emas di London

 


Atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, gagal mempertahankan pingat emas acara 100m T36 (cerebral palsy) selepas mendapat tempat kedua pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, England malam tadi.

Pemegang pingat emas Olimpik Rio 2016 itu yang muncul juara pada Kejohanan Dunia 2015 di Doha, Qatar sekadar memenangi pingat perak dengan catatan masa 12.15 saat bagi menyamai masa terbaik beliau dalam acara yang diadakan di Stadium London di Queen Elizabeth Olympic Park, menurut laman web kejohanan www.paralympic.org/london-2017.

Atlet dari China Yang Yifei, yang juga pemenang pingat perak pada Olimpik Rio 2016, meraih pingat emas selepas mencatat rekod baru Asia 11.93 saat manakala Rodrigo Parreira da Silva dari Brazil, pemegang pingat gangsa di Rio, sekali lagi mendapat gangsa dengan masa 12.28 saat.

Mohamad Ridzuan juga mengambil bahagian dalam acara 200m T36 di London tetapi hanya berjaya menamatkan kedudukan di tempat keempat pada 17 Julai lepas.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengumpul dua pingat emas dan satu perak dalam pertandingan itu yang berakhir pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Untuk rekod, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat emas pertama negara selepas mencatat rekod dunia baru dengan jarak lontaran 17.29 meter dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) sebelum Abdul Latif Romly menyumbang emas kedua dengan rekod kejohanan baru 7.37 meter dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).- Bernama


Tiada ulasan: