shahbudindotcom
Sewaktu
Ahmad Zahid Hamidi menemui Tun Mahathir Mohamad pada awal Ogos 2015
iaitu kira-kira 10 hari selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana
Menteri, ketika itu bekas Perdana Menteri 22 tahun itu memang diketahui
umum sedang gigih mahu menyingkirkan Najib Razak.
Beliau
menarik balik sokongannya terhadap Najib bermula 18 Ogos 2014 berikutan
prestasi Najib yang dinilainya lebih buruk berbanding Tun Abdullah
Badawi serta mahukan Perdana Menteri mengambil iktibar daripada
keputusan buruk BN pada pilihanraya 2013.
Jika
tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Bukan saya
tidak sayang pemimpin, tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya,
ujar Tun Mahathir merasionalkan tindakannya itu.
Susulan
penarikan balik sokongan itu, Tun Mahathir kemudian secara konsisten
menggesa Najib meletakkan jawatan. Ketika itu Muhyiddin Yassin masih
lagi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
Oleh
kerana Najib enggan meletakkan jawatan, usaha yang dirancang untuk
menyingkirkannya ialah dengan cuba mengusulkan undi tidak percaya di
Parlimen dan melalui memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
Bermakna,
ketika Zahid Hamidi berjumpa Tun Mahathir dan beliau menceritakan dua
langkah yang mahu diambil terhadap Najib itu, ia bukanlah sesuatu yang
menghairankan kerana sebelum itu sudah puluhan program untuk mendesak
penyingkiran Najib sudah pun dihadirinya.
Yang
menghairankan ialah buat apa Zahid Hamidi berjumpa dengan Tun Mahathir
yang sudah pun diketahui umum bermusuh dengan Najib.
Lebih
menghairankan kerana dua tiga hari lalu, Zahid Hamidi juga mengatakan
Tun Mahathir memang tidak berkenan dengannya sejak dulu lagi.
Apakah
Zahid Hamidi berjumpa itu dengan tujuan agar Tun Mahathir jadi berkenan
dengannya kerana ketika itu beliau sudah pun menjadi Timbalan Perdana
Menteri dan hanya selangkah menjadi Perdana Menteri?
Setelah
pertemuan itu terdedah, sebenarnya tidak perlu sama-sekali Zahid Hamidi
mengajak Tun Mahathir bersumpah untuk membuktikan siapa yang mahu
menjatuhkan Najib kerana bekas Perdana Menteri itu memang sudah
diketahui mahu menyingkirkan Najib.
Apa yang peliknya dengan Tun Mahathir mahu menyingkirkan Najib dan adakah perbuatan itu suatu kesalahan?
Adakah menyingkirkan Najib sama dengan mahu menjatuhkan kerajaan?
Menyingkirkan
Najib atau mana-mana Perdana Menteri, sama ada melalui desakan,
tekanan, undi tidak percaya atau dengan menghantar memorandum kepada
Yang Dipertuan Agong, ia bukanlah suatu kesalahan, malah dibenarkan oleh
Perlembagaan.
Menjatuhkan
kerajaan juga tidak merupakan suatu kesalahan, asalkan ia dilakukan
melalui saluran yang betul iaitu pilihanraya. Lagi pun, memang parti
politik ditubuhkan untuk berebut kuasa dan saling menjatuhkan kerajaan
setiap kali pilihanraya diadakan.
Jika
percubaan menumbangkan kerajaan suatu kesalahan, sudah tentulah 52
peratus pengundi pilihanraya 2013 yang menolak BN boleh dianggap telah
melakukan kesalahan juga.
Yang
salah ialah cuba menumbangkan kerajaan melalui kekerasan atau dengan
penggunaan senjata di mana ia boleh dianggap pengkhianatan kepada
negara.
Oleh
kerana semua usaha Tun Mahathir untuk menyingkirkan Najib tidak menemui
kejayaan, maka beliau memutuskan untuk keluar UMNO, menubuhkan Bersatu
dan kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan dan hari ini dilantik
sebagai Pengerusi gabungan itu.
Tujuannya
tidak lari dan tetap sama iaitu untuk menyingkirkan Najib dan
menumbangkan kerajaan UMNO/BN. Sebagaimana pandangan asalnya bahawa
Najib membawa begitu banyak kerosakan dan bertindak menegur sebelum itu
kerana sayang kepada bangsa dan negara ini, matlamat Tun Mahathir
melalui Bersatu dan Pakatan Harapan juga kerana hal yang sama.
Sebahagian
daripada pembangunan moden negara ini dibina melalui idea dan
wawasannya, sudah tentu beliau tidak mahu ianya rosak binasa hanya
kerana kerakusan peribadi seorang yang bernama Najib untuk terus
berkuasa lagi, meskipun banyak kerosakan dan rakyat diulit sengsara dan
derita.
Menyingkirkan
Najib dan menumbangkan kerajaan melalui pilihanraya, bukan saja tidak
salah dan dibenarkan, tetapi juga adalah pilihan terbaik waktu ini untuk
memulihkan imej dan nama baik negara sebelum ia terus rosak dan tidak
boleh dipulihkan sama-sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan