Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) sedang berusaha supaya institusi kewangan khususnya Bank
Negara Malaysia (BNM) memberi sedikit kelonggaran kepada pembeli rumah
kali pertama.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata institusi kewangan itu kini sedang
mengkaji saranan yang dibuat kementeriannya bagi membolehkan pembeli
membeli rumah pertama mereka.
"Bank ini dia ada syarat-syarat dia sendiri, kriteria dia sendiri. Dia
siapa yang hutang banyak, kemampuan dia untuk bayar balik. Siapa yang
kelayakan pinjaman, itu bagi saya itu urusan bank. Hanya kita nak mohon
sedikit fleksibiliti lah. Fleksibiliti untuk dia pertimbangkan peminjam
kalau ada peminjam perumahan kali pertama kalau boleh bagi sedikit
kelonggaran daripada syarat-syarat yang asas.
"Jadi macam KPKT untuk kita nak membantu pembeli pertama sebab itu kita
ada skim My Home kerajaan beri geran RM30 ribu. RM30 ribu ini geran
bukan pinjaman. Kita bagi geran untuk ia membolehkan dapat pinjaman
bank. Untuk dia mampu. Masalahnya ialah dia (bank) tidak boleh beri
seratus peratus dia hanya boleh bagi 70 peratus 80 peratus. Yang
masalahnya ialah nak mengisi ruang itu," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Karnival Rumah Mampu Milik di SACC Shah Alam, hari
ini.
Harga rumah yang terlalu tinggi dan tidak realistik menjadikan ramai
rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah pertama, khususnya di
Selangor.
Keraguan itu turut disuarakan oleh Persatuan Pembeli-pembeli Rumah
Kebangsaan (HBA) mengatakan bahawa 'harga tidak masuk akal' menjadi
penyebab sebenar ramai rakyat Malaysia tidak mampu memiliki harta, dan
mereka termasuk isi rumah berpendapatan RM9,000.
Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu turut
menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneliti semula peranan
penubuhannya membantu rakyat, bersabit isu perumahan.
"Jadi oleh kerana dikatakan banyak anak syarikat kerajaan negeri yang
buat rumah ini dapat tanah percuma. Jadi saya harap kita akan dapat
mainkan peranan lah. Seperti di Selangor, kita menjunjung kasih kepada
Duli Yang Amat Mulia Sultan Selangor. Di dalam titah baginda supaya
agensi kerajaan negeri Selangor seperti PKNS kena tengok balik sejarah.
Kita kena memainkan peranan kenapa tubuhkan PKNS.
"Kalau kita tengok dahulu, yang banyak bangunkan kawasan di Shah Alam,
Bangi ini yang banyak diduduki Bumiputera ini semua peranan PKNS. Tapi
hari ini, agensi-agensi ini seolah olah sudah lari daripada matlamat.
Jadi saya rasa teguran Duli Sultan Selangor ini harus kita junjung kasih
kerana kepekaan dan keprihatinan Baginda mengenai masalaah perumahan di
negeri Selangor.
"Jadi kita harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dia patut rasa
terpanggil untuk membetulkan balik matlamat-matlamat GLC khususnya bukan
sahaja PKNS. Tetapi banyak lah PNSB pun ada, banyaklah. Yang kita
tubuhkan dulu waktu kita tubuhkan. Kita harap benda ini dapat dihidupkan
balik oleh kerajaan negeri," tambahnya.
Terdahulu Sultan Selangor menyampaikan rasa kurang senang Baginda
sekiranya anggota lembaga pengarah PKNS hanya disandang oleh ahli
politik.
Titah Baginda lagi, ahli lembaga pengarah PKNS haruslah seimbang dan
mestilah dilantik daripada kalangan mereka-mereka yang profesional serta
boleh memberi pandangan dan tunjuk ajar dalam pembangunan.
Baginda mahukan penglibatan golongan profesional supaya hala tuju PKNS
tidak tersasar daripada objektif asal, iaitu kearah pembangunan dan
kemajuan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan