SHAH ALAM: Firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum
Investment Co (IPIC) mengesahkan menerima pembayaran AS$360 juta
(RM1.545 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam
pemfailan kepada Bursa Saham London.
“Susulan pengumuman yang dilakukan pada 8 Ogos 2017, IPIC kini menerima
dana yang diperlukan pada 12 Ogos 2017 untuk pelanjutan yang
dipersetujui bersama Kementerian Kewangan (Perbadanan) Malaysia (MoF
Inc) dan 1MDB.
“Sehubungan itu, MoF Inc dan 1MDB kini mempunyai masa sehingga 31 Ogos
2017 untuk melengkapkan tanggungjawab pembayaran yang sepatutnya
dilaksanakan pada 31 Julai 2017 di bawah perjanjian penyelesaian dan
pembayaran faedah kerana bayaran lambat,” kata IPIC dalam satu
kenyataan.
Terdahulu, 1MDB dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bahawa
syarikat berkenaan telah membuat bayaran sebanyak AS$360 juta kepada
IPIC.
Kenyataan itu dipetik sebagai berkata, bayaran berkenaan dibuat selepas
ia terlepas tarikh akhir asal 31 Julai yang turut diberikan lanjutan
lima hari.
“Baki asal bayaran obligasi pada IPIC pada 31 Julai 2017, kini perlu dibayar pada 31 Ogos 2017,” kata 1MDB dalam kenyataan itu.
1MDB menambah semua dana yang dibayar kepada IPIC adalah hasil program rasionalisasi berterusan.
Melalui perjanjian yang dimeterai dengan IPIC pada April lalu, 1MDB
bersetuju membayar AS$1.2 bilion dalam dua ansuran dengan pembayaran
pertama kira-kira AS$600 juta dibuat pada 31 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan