KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah
rumah 10 orang suspek yang dipercayai melindungi kegiatan perlombongan
bauksit secara haram di Kuantan.
Ia turut merampas beberapa dokuman termasuk penyata akaun bank suspek
iaitu seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan
sembilan penolong penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang.
"SPRM juga sudah menghantar permohonan bagi menyekat sebarang
pengambilalihan harta mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM 2009," katanya
dalam satu kenyataan semalam.
SPRM berkata menambah antara lokasi lain yang digeledah ialah Pejabat
Pelabuhan Kuantan, Pejabat Kastam dan beberapa syarikat yang menyaksikan
pelbagai dokumen termasuk dokumen eksport, komputer riba dan borang
berkaitan kastam dirampas.
"Sehingga hari ini seramai 18 orang saksi yang terdiri daripada pemandu
lori yang mengangkut bauksit haram, pengurus, penyelia syarikat dan
kerani syarikat sudah diambil keterangan," kata SPRM.
SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama seminggu bermula semalam
terhadap sembilan kakitangan PTG yang berusia antara 29 hingga 59 tahun
bagi membantu siasatan berhubung perlombongan bauksit haram.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman
yang sebelum ini turut membenarkan pegawai kastam berusia 56 tahun dan
berpangkat penolong pengarah itu direman sehingga 8 Ogos bagi membantu
siasatan.
Semua suspek ditahan dalam operasi khas oleh SPRM selepas mendapati
aktiviti perlombongan bauksit di Bukit Goh dan Bukit Sagu masih berjalan
walaupun kerajaan telah mengenakan perintah moratorium sehingga 31
Disember ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan