Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Dari
dalam penjara Sungai Buloh, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri
Anwar Ibrahim cuba memujuk pelbagai pihak yang memang pernah menjadi
penyokong tegarnya supaya terus mengukuhkan perjuangan pembangkang.
Tumpuan beliau ialah supaya rakan-rakannya dari SUARAM, Otai Reformasi,
Parti Sosialis Malaysia (PSM), NGO dan badan Islam “mengendurkan
sedikit tekanan” mereka yang mempertikai keputusan PH membabitkan Tun
Mahathir Mohamad dalam barisan kepimpinan gabungan berkenaan.
Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan
reformasi dan agenda perubahan. Ada pandangan yang mencurigai muslihat
sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh
politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.
“Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk
memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga
autokratik seperti rejim kini,” kata Anwar dalam kenyataan medianya 30
Julai lalu.
Matlamat siaran media itu ialah memperjelaskan halatuju dan keperluan
menggabungkan seluruh unsur politik, sosial dan ekonomi dalam saf
pembangkang demi menumbangkan kerajaan Umno-BN.
Seperti lazimnya, Anwar cuba mengobarkan semangat dan menggilap sejarah
perjuangan aktivis berkenaan untuk terus menyokongnya dan pada masa
yang sama mengambil kesempatan menyerang pihak media arus perdana.
“Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang
dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana
sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada
beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut
nadi rakyat.
“Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah
dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama,
manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba
pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH,” tegas Anwar.
Beliau memberi jaminan bahawa PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang
wacana segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat
mendamba kebebasan dan keadilan.
“Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah
negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui
retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan
kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan
kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah,
kronisme dan kleptokrasi,” tambahnya.
Namun tidak banyak reaksi yang diberikan oleh pihak-pihak yang
disasarkan oleh Anwar. Yang jelas kepimpinanan Otai Reformasi tidak
berganti apabila Saari Sungib memilih untuk terus aktif sebagai wakil
rakyat dan ‘membebaskan’ diri dari perjuangan aktivis reformasi.
Sambutan daripada entiti lain seperti SUARAM, PSM dan NGO lain juga
agak terbenam seolah menandakan siaran media itu kurang menguja dan
mengobarkan semangat reformasi.
Betapa tidaknya, landasan reformasi yang dicuba digerakkan Anwar kini
sudah lebih lebih 35 tahun itu kini nampaknya tidak menyerlahkan harapan
baru. Malah ia masih berkisar pada watak reformasi yang sama – Anwar
Ibrahim dan Mahathir Mohamad.
Pada 1981 Anwar membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila
“merestui” Mahathir Mohamad untuk menjadi “sifu” dan pemimpinnya dalam
melaksanakan cita-cita reformasi untuk Malaysia.
Apabila duduk di sebelah Mahathir di bilik Gerakan Pejabat Perdana
Menteri untuk mengumumkan penyertaannya sebagai ahli Umno, Anwar
berfalsafah: “Apabila pihak (kerajaan) bersikap responsif, maka perlulah
kita bersikap bertanggungjawab”.
Sebelum itu watak Anwar adalah seorang reformis ghairah dan garang
memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) untuk mereformasi sistem
pendidikan, ekonomi, kehakiman, politik dan semua aspek kehidupan.
Beliau mengepalai lebih 50 pertubuhan dan NGO menentang Akta Pertubuhan
yang dilihat mengongkong hak bersuara dan kebebasan rakyat. Ketika
itulah tawaran Mahathir supaya Anwar bekerjasama dengannya merobah masa
depan negara dibuat.
Mungkin itu yang dimaksudkan Anwar apabila kerajaan responsif, maka
pihaknya perlu bertanggungjawab melakukan perubahan bersama. Maka
wujudlah kempen penerapan nilai Islam, penubuhan institusi Islam seperti
Universiti Islam Antarabangsa sistem perbankan Islam, takaful dan
pelbagai lagi.
Serentak itu Anwar memanjat tangga kuasa dari Ketua Pemuda sehingga
Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Namun sepanjang 17
tahun bersama Mahathir, kekangan kebebasan rakyat seperti Akta
Keselamatan Dalam Negeri ((ISA) dan soal integriti badan kehakiman tidak
berubah,
Malah apabila Mahathir memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas,
melaksanakan impian raksasanya seperti Perwaja, Proton, perdagangan
matawang (Forex) yang mengakibatkan kerugian berpuluh billion ringgit,
Anwar sentiasa di samping Mahathir. Wala’nya tidak boleh dipertikaikan.
Namun sejarah menyaksikan watak Mahathir yang sebenarnya apabila ada
‘anak didiknya’ yang cuba bertindak seperti ‘ular lidi hendak menjadi
naga politik’ dan mencabar kedudukan politiknya. Anwar dipecat, diaibkan
dan dipenjarakan.
Anwarpun memasuki proses reformasinya yang kedua. Keluar dari kerajaan,
Anwar terperosok di penjara. Ketika itulah istilah dan maksud reformasi
dilaungkan di seluruh penjuru negara walhal komitmen Anwar mahu
mereformasi sistem hidup di Malaysia sudah dibuatnya sejak 1981 lagi.
Simpati, kagum dan komitmen aktivis-aktivis reformasi ini membantu
Anwar mengatur barisan pembangkang yang kukuh dan pada 2008 menafikan
Umno-BN majoriti dua pertiga di parlimen.
Kejayaan ini diulangi dan diperbaiki lagi pada PRU13 pada 2013.
Kepimpinan Anwar terserlah dan sekaligus menyelimuti hakikat bahawa
sebelum itu selama 17 tahun beliau bersama Mahathir kononnya menyusun
agenda reformasi untuk Malaysia dalam pelbagai bidang, gagal.
Jika ditanya mengapa gagal, tentu umum akan menuding jari bahawa ia
digagalkan oleh sikap autokratik dan zalim Mahathir; terkecuali jika
Anwar sanggup jujur dan mengakui ia adalah kerana kelemahannya kerana
terlalu “kagum, taksub dan tertipu” oleh Mahathir.
Namun kini Anwar mahu mengajak rakan dan penyokong reformasi
“mempercayai Mahathir dan menyokong kepemimpinannya dalam PH”. Apakah
aktivis reformasi tidak sedar atau terlalu taksub dengan Anwar hingga
terlepas pandang bahawa Anwar pernah gagal bereformasi bersama Mahathir
tetapi gagal kerana beliau terlalu taksub pada Mahathir?
“Pada hemat saya kehadiran Tun Mahathir dan Bersatu adalah dalam
kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang
lebih disepakati. Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun
mengharungi perjuangan bersama.
“Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding
dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa
bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau
pantas bertindak aktif dan berani,” pujuk Anwar lagi.
Memang Mahathir berani. Sebab itu meskipun Anwar mengumumkan taat setia
tidak berbelah bahaginya pada beliau pada awal September 1998, pada
esok harinya, Anwar tetap dipecat kerana berbeda pendekatan dan cara
kononnya untuk menyelamatkan ekonomi negara pada 1998.
Namun kemudian Mahathir menokok alasan menggugurkan Anwar dari senarai
kepimpinan negara kerana akhlaknya pula. Mahathir tidak hirau perubahan
alasan beliau menggugurkan Anwar itu kerana beliau tahu gerakan
reformasi Anwar tidak cukup kuat untuk menumbangkannya.
Kini Anwar seolah-olah menemui jalan buntu dan mahu Mahathir mengepalai
pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN. Bagi Mahathir ini bak
pucuk diidam ulam pun tiba.
Besar kemungkinan jika PH berjaya mengalahkan Umno-BN dalam PRU14,
Mahathir tidak teragak-agak “mensejuk-bekukan” kerjaya dan impian
reformasi Anwar Ibrahim sekali lagi.
Menilai kebarangkalian ini, mungkin seruan Anwar supaya kepemimpinan
Mahathir dalam PH dihargai, disokong dan dijayakan, tidak menerima
sambutan hangat reformis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan