KUALA LUMPUR: Seorang bapa bersama anaknya memfailkan saman kecuaian di
Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap sebuah sekolah
swasta kerana mendakwa gagal mengambil tindakan berhubung kes buli
membabitkan anaknya.
Mohamad Fairul Mohamad Ramzi, 33, dan anaknya, Agung Ishmael Mohamad
Fairul, 8, masing-masing selaku plaintif, menamakan sekolah swasta yang
terletak di Setapak dan seorang guru kelas sebagai defendan pertama dan
kedua.
Berdasarkan penyata tuntutan, Mohamad Fairul mendakwa Agung digigit di
bahagian muka dan ditendang di bahagian punggung oleh rakan sekelasnya
pada 1 Jun 2017.
Ekoran insiden itu, anak lelakinya mengalami kecederaan dan mendakwa sering diganggu kanak-kanak terbabit.
Malah kata Fairul, ia bukan kali pertama Agung dibuli, tetapi berlaku sejak September tahun lepas.
Dakwanya juga, perkara itu telah dibawa kepada pihak pengurusan sekolah bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil.
Plaintif mendakwa Agung mengalami kecederaan akibat insiden itu, namun
kedua-dua defendan tidak memberikan rawatan perubatan atau membawa
kanak-kanak itu mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, insiden itu hanya diketahui pada sebelah petang
kira-kira jam 2 petang sebelum membawa anaknya ke Prince Court Medical
Centre untuk rawatan.
Mohamad Fairul berkata, pada 8 Julai, beliau dimaklumkan anaknya telah
digantung sekolah selama lima hari atas alasan bergaduh dengan seorang
murid yang menyebabkan kecederaan ke atas murid lain.
Katanya, penggantungan yang dibuat itu tidak wajar kerana langsung tidak memberi peluang plaintif kedua membela diri.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebagai ganti rugi
perbelanjaan pendidikan anaknya selain ganti rugi khas RM6,009.70 untuk
kos rawatan dan pemulangan deposit persekolahan.
Palintif juga menuntut deklarasi bahawa tindakan gantung sekolah itu
tidak sah dan diketepikan selain perintah supaya pihak sekolah
membatalkan nama Agung dari rekod disiplin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan