Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan hanya 98 orang
sahaja warga Korea Utara diberikan permit sah untuk bekerja di negara
ini.
Menerusi kertas jawapan yang diedarkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip
Eng di Dewan Rakyat hari ini, warganegara negara itu yang diterima
bekerja di Malaysia merangkumi 80 orang lelaki dan 18 orang perempuan.
Pecahan bagi pekerja warga Korea Utara mengikut negeri adalah Kuala
Lumpur (75), Selangor (20), Johor (2) dan Perak hanya seorang.
Terdahulu Lip Eng meminta KDN menyatakan jumlah permit kerja yang
dikeluarkan untuk warga Korea Utara mengikut jantina dan pecahan
mengikut negeri, selain larangan kepada mana-mana negara untuk
warganegaranya bekerja di Malaysia.
Kementerian berkenaan dalam pada itu memberitahu hanya warganegara Israel sahaja dilarang untuk memohon bekerja di negara ini.
Awal Julai lalu timbul dakwaan bahawa kerajaan menghentikan permit
kerja kepada warga Korea Utara, empat bulan selepas kematian abang tiri
pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur, Februari lalu.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada arahan sedemikian
dikeluarkan pihaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan