PUTRAJAYA: Sejajar dengan pelaksanaan cukai pelancongan yang bermula 1
September depan, kesemua hotel dan premis penginapan yang mempunyai
lebih dari lima bilik diwajibkan berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja
Malaysia (JKDM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Subromanian Tholasy berkata sehingga ke hari
ini sebanyak 4,000 hotel dan premis penginapan telah berdaftar dengan
jabatan itu dan masih terdapat kira-kira 10,000 belum berbuat demikian,
dipercayai sengaja melengah-lengahkan pendaftaran.
Subromaniam menegaskan pihaknya tidak akan memberi sebarang tempoh
penangguhan kepada pengusaha hotel dan premis penginapan bagi tujuan
itu, dimana mereka juga boleh membuat pendaftaran itu juga menerusi
dalam talian.
"Pihak kastam akan membantu mereka berdaftar dengan melawat premis itu melalui program 'Hand Holding' mulai minggu depan.
"Kalau ada masalah, telefon kastam dan kita boleh turun ke premis anda
untuk bantu mendaftar. Jangan cari alasan dan melengahkan pendaftaran,"
katanya di majlis prapelancaran Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia hari ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
pada 26 Julai lalu berkata rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada
membayar cukai bagi semua kategori hotel manakala cukai terhadap
pelancong asing akan dikenakan pada kadar RM10 semalam bagi satu bilik
mulai 1 Sept ini.
Ditanya mengenai pendaftaran motel dan inap desa, Subromaniam berkata
pada dasarnya pihak inap desa bersetuju untuk berdaftar tetapi mempunyai
beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan pihak kastam akan
mengadakan perbincangan dengan wakil inap desa pada 28 Ogos ini.
"Bagi motel pula, mereka tidak dapat memberi data penuh. Tetapi
mengikut undang-undang, sesiapa yang ada lima bilik dan ke atas tanpa
mengira penarafan bintang perlu berdaftar," katanya.
Subromaniam bagaimanapun berkata buat masa ini pihaknya tidak akan
bersikap agresif terhadap pengusaha yang gagal berdaftar selepas tarikh
akhir sebaliknya mahu mereka bekerjasama dengan JKDM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan