JELI: Kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah
mendera negeri-negeri yang ditadbir pembangkang khususnya Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kegagalan BN untuk
menguasai negeri berkenaan tidak boleh dijadikan sebab untuk kerajaan
menyimpan dendam.
"Sebagai pemimpin saya perlu berlaku adil kepada rakyat sama ada mereka menyokong BN ataupun tidak.
"Sekurang-kurangnya walaupun tak dapat undi, saya dapat pahala di
akhirat. Semoga dengan usaha ini kita dapat majukan negara kita,"
katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Jeli hari
ini.
Tambah Najib, rakyat Kelantan akan terus mendapat perkhidmatan
kesihatan yang terbaik apabila Hospital Bachok dan Hospital Kuala Krai
siap dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan kesemua 10 jajahan di
negeri itu mempunyai hospital masing-masing.
Sementara itu, bangunan tambahan baharu di Hospital Jeli yang bernilai
RM57 juta tersebut membolehkan hospital berkenaan menyediakan kemudahan
kesihatan yang lebih baik, moden dan lengkap kepada 47,000 penduduk di
jajahan berkenaan.
Bangunan tambahan itu yang siap dibina tahun lepas menyediakan tambahan
56 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil di Hospital Jeli sebanyak
80 katil.
Perkhidmatan lain yang termasuk tambahan dua lagi wad menjadikan empat
wad keseluruhan, dua dewan bedah, kemudahan rawatan dan diagnostik, unit
patologi dan tabung darah, unit sokongan steril pusat, rekod perubatan
yang lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat selain pertambahan 80
lot tempat letak kenderaan untuk kemudahan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan