Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ikhlas
menandatangi Ikrar Bebas Rasuah (IBR), majlis lafaz ikrar tersebut
sepatutnya tidak mengecualikan wakil Barisan Nasional (BN), demikian
kata ADUN Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad.
Farid berkata sikap kerajaan negeri pimpinan DAP itu yang tidak
menjemput wakil BN jelas mahu memperlihatkan sisi 'gigih' Pakatan
Harapan (PH) dalam membanteras rasuah.
"Saya rasa sewajarnya kalau dia nak buat dengan ikhlas, tidak
berpura-pura, tidak berpolitik, dia perlu jemput dan kami akan buat
keputusan untuk datang ataupun tidak. Bukan dia membuat andaian kami
kalau jemput pun tidak datang.
"Itu lebih kepada menjadikan program hari itu sebagai program Pakatan
Harapan yang tidak mahu melibatkan BN. Apapun seperti kata Ketua
Pembangkang (DUN) kata, kami boleh dan akan mengangkat IBR sendiri.
"Itu saya rasa dia lebih nak menjadikan seolah-olah hanya pakatan
sahaja yang menyokong IBR ini dan tidak BN. Patutnya dia menjemput
sekali kami. Kita difahamkan yang dia kata kalau dijemput pun kami tak
datang. Siapa dia untuk menghakimi kami datang atau tak datang," katanya
ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Walaubagaimanapun Farid berkata, seluruh anggota BN di negeri yang
dipimpin DAP itu akan terus mendokong inisiatif yang dibawa Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras musuh nombor
satu negara itu.
"IBR ini bukan (inisiatif) kerajaan PH. IBR ini dibuat oleh agensi
kerajaan yang mahu bebaskan rasuah daripada pentadbiran dan kita
menyokongnya. Tiada sebab untuk kami menentang apa yang dibuat oleh
kerajaan. Memang kami pun mahu pentadbiran yang bebas rasuah seperti
yang dibawa oleh badan pencegah rasuah," tambahnya.
Jumaat lalu, kerajaan Pulau Pinang akhirnya akur dan menandatangani IBR
dengan tambahan 10 langkah integriti selepas berdolak dalih.
Bagaimanapun, majlis berkenaan menimbulkan tanda tanya ekoran tidak
disertai wakil rakyat BN kerana dipercayai mereka tidak menerima
sebarang undangan rasmi daripada kerajaan negeri.
Lafaz ikrar yang diketuai Guan Eng itu disaksikan Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
SPRM, Datuk Azam Baki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan