PERMATANG PAUH: Umno-Barisan Nasional (BN) mempunyai 67 peratus peluang
untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum
ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Azeez
Abdul Rahim.
Menurut Abdul Azeez, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada kajian
yang dijalankan pihaknya menunjukkan rakyat di Permatang Pauh merajuk
dan berkecil hati dengan kepimpinan PKR selama 16 tahun di kawasan itu.
"Kami boleh menang lebih 5,000 majoriti pada pilihan raya umum akan
datang, insya-Allah.Saya nak kita bekerja, memastikan kita sentiasa
bersemangat untuk memastikan kemenangan BN di Permatang Pauh.
"Kalau nak menang, masih ada ruang untuk daftar pemilih. Saya nak minta
Datuk Mohd Zaidi (Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh) untuk fikirkan
bagaimana sebelum hujung bulan September ini daftarkan lagi 3,000
pengundi," katanya yang juga Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian Umno.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan
perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh, di Bukit Mertajam hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Setiausaha Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Abdul Azeez turut mengingatkan jentera pilihan raya Permatang Pauh
untuk sentiasa turun padang berjumpa rakyat dan mendengar masalah mereka
sekali gus mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit.
Sementara itu, Mohd Zaidi ketika ditemui berkata Umno mampu merampas
kembali kerusi kawasan itu berdasarkan sambutan yang diberikan
masyarakat terhadap program anjuran Umno selain trend komen positif
rakyat terhadap parti itu di media sosial.
Beliau berkata tindakan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR turut
memberi kelebihan kepada Umno dalam usaha merampas kembali kerusi itu.
"Ini adalah tahun keempat Permatang Pauh di bawah kepimpinan saya.
Berdasarkan kepada keadaan ataupun mood semasa tahap keyakinan memang
berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan