KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengalami kerugian sekiranya kajian
mengenai tumbuhan daun ketum diharamkan, demikian menurut Menteri Sumber
Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ini kerana kata Junaidi, tumbuhan itu mempunyai nilai tinggi khususnya di pasaran luar negara, selain mudah ditanam.
Ujar beliau, kerajaan harus membenarkan kajian mengenai ketum bagi
membolehkan potensi mengenai tumbuhan itu, khususnya dalam aspek
perubatan dikembangkan.
"Kita jangan haramkan pengambilan dan eksploitasi kajian untuk ketum
kerana kalau diharamkan, kita akan kerugian kerana tumbuhan bernilai
tinggi ini tidak terdapat di banyak negara.
"Ketum adalah satu daripada biodiversiti, tumbuhan di negara kita yang
tinggi nilainya serta mudah ditanam,” katanya pada sidang media di
parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan jualan
ketum, khususnya dalam aspek perubatan selepas Rang Undang-Undang (RUU)
Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 diluluskan di
Dewan Rakyat hari ini.
Wan Junaidi berkata kebimbangannya mengenai eksploitasi ketum daripada
pihak luar juga kini dapat diatasi selepas RUU berkenaan diluluskan.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU tersebut yang berfungsi untuk
mengawal selia aktiviti berkaitan sumber biodiversiti negara, selain
mengatasi masalah kecurian dalam usaha menjana ekonomi negara pada masa
hadapan.
Ketika membentangkan RUU itu, Wan Junaidi berkata, ia dapat mengelakkan
aktiviti ‘biopiracy’, iaitu pihak tertentu membangunkan sumber biologi
negara tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara berkenaan.
Sementara itu, ketika sidang media, Wan Junaidi berkata RUU itu juga
mengawal hasil biodiversiti negara daripada dieksploitasi saintis luar,
dengan memperuntukkan hukuman sehingga RM500,000 dan 10 tahun penjara.
Katanya, pelbagai negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat (AS)
banyak mendapatkan daun ketum daripada Malaysia untuk menjalankan
kajian, sehingga timbul kebimbangan hasil kajian akan dipatenkan negara
terbabit.
Bagaimanapun, katanya, RUU itu masih tidak mengizinkan ketum
dikomersialkan kerana perkara itu masih dibawah bidang kuasa Kementerian
Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan. Undang-undang ketika ini
melarang penjualan air atau bahan diproses daripada tanaman ketum
mengikut pindaan Akta Racun 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan