Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyifatkan kenyataan bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai hipokrit,
apabila melabel pihak yang mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan
bersabit anak tidak sah taraf sebagai taliban.
Justeru menurut Timbalan Presidennya Aminuddin Yahaya, Zaid perlu
mencermin dirinya terlebih dahulu yang dikatakan sebagai penyokong
liberal yang tidak mempunyai pendirian tetap dan sering berubah mengikut
keadaan.
"Dia ni (Zaid) hipokrit, sebelum ni pun kalimah Allah keluar keputusan
yang melawan dia marah, (tapi) kalau mana yang selari dengan dia, dia
kata betul. Jadi bagi saya benda ni bukan satu benda yang salah, kerana
kita masih ada lagi proses diperingkat mahkamah persekutuan. Benda ni
belum habis macam tu lagi.
"Untuk cakap orang yang menentang perkara ni seperti Taliban, Zaid kena
cermin diri dialah. Orang yang menyokong isu-isu liberal, yang menuduh
orang-orang memegang asas-asas Islam sebagai ekstremis ni tiada asas,"
katanya kepada Antarapos.
Semalam, Zaid membidas pihak yang mempertikaikan keputusan anak tidak
sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya baru-baru ini.
Beliau yang melabel pihak berkenaan sebagai 'kumpulan Taliban',
mempersoalkan mengapa anak tidak sah taraf itu tidak dibenarkan untuk
didaftarkan dengan nama bapa sedangkan mereka tidak berdosa.
Beliau merujuk keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk terus
membinkan anak “tidak sah taraf” dengan “bin Abdullah”, walaupun
Mahkamah Rayuan berkata amalan itu bukan sahaja melanggar Akta
Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tetapi juga mengaibkan anak luar
nikah.
Tambah Aminuddin lagi, Zaid adalah individu yang menjadi liabiliti
bukan sahaja kepada parti yang dianggotainya tetapi beliau juga
berbahaya kepada negara kerana boleh mencetuskan keadaan huru-hara
kepada rakyat.
"Orang seperti dia ni satu liabiliti untuk sesiapa pun, bukan pada DAP
sahaja. Dulu dia selalu kata orang ni kaki lompat tapi dia sekarang sama
macam tu.
"Dulu dia pertahan Umno lepas tu hentam Umno, bila dengan PKR dia buat
benda yang sama juga. Orang yang tak ada pendirian macam ni bagi saya
dia akan jadi liabiliti kepada mana-mana pihak.
"Orang yang macam ni sebenarnya bahaya kepada negara, dia akan hanya
porak-perandakan dari segi hubungan kaum dan sebagainya," ujar beliau
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan