PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan menghalang cadangan syarikat
penerbangan melarang hidangan minuman beralkohol dalam pesawat, kata
menteri pengangkutan hari ini.
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata demikian dalam jawapan bertulis
kepada Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang meminta
kementerian menyatakan pendirian terhadap gesaan larangan hidangan
minuman beralkohol dalam pesawat.
“Pelaksanaannya merupakan keputusan syarikat penerbangan
masing-masing,” katanya, mengulangi pendirian kerajaan yang dinyatakan
sebelum ini.
Liow menambah syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAB) yang
beroperasi ke pelbagai destinasi seluruh dunia dan membawa pelbagai
jenis penumpang perlu memenuhi kehendak pelanggan mereka, khasnya kelas
perniagaan dan kelas pertama.
“Sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakan syarikat penerbangan di dunia untuk menyediakan minuman keras kepada penumpang.”
“Sungguhpun demikian, ini tidak bermakna kerajaan dan MAB mengalakkan penumpangnya untuk mengambil minuman keras,” ujarnya.
PAS sebelum ini, buat kesekian kalinya menggesa arak diharamkan
daripada menu penerbangan Malaysia Airlines pada 5 Jun lalu, selepas
seorang penumpang bermasalah cuba memasuki kokpit pesawat MH128 dan
memaksa penerbangan ke Kuala Lumpur pada 31 Mei itu berpatah balik ke
Melbourne.
Laporan awal mendakwa penumpang itu mabuk, memetik daripada Timbalan
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ab Aziz Kaprawi. Polis Australia
bagaimanapun mengesahkan penumpang warga Sri Lanka itu mengalami masalah
kesihatan mental.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan