Cadangan untuk menjadikan prinsip –
prinsip rukun negara sebagai sebahagian daripada perlembagaan ataupun
sebagai undang – undang tidak sesuai dilakukan kerana kebimbangan ianya
akan menjadikan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya
dan agama kucar kacir.
Malahan ianya mustahil untuk dikuatkuasakan
sekiranya semua prinsip – prinsip di dalamnya dijadikan sebagai undang –
undang kelak.
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan
Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara
iaitu setahun selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 yang hampir
menghancurkan perpaduan dan ketenteraman antara kaum dalam negara kita.
Prinsip – prinsip rukun negara adalah
Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran
Perlembagaan; Kedaulatan Undang – Undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Jika dilihat kepada kesemua lima prinsip
rukun negara ini, bagaimanakah kita hendak menjadikannya sebagai undang
– undang dalam negara kita kerana prinsip – prinsip berkenaan adalah
terlalu umum.
Sesuatu prinsip atau perkara yang umum
tidak sesuai dijadikan sebagai undang – undang kerana ianya akan
menyusahkan pihak penguatkuasaan untuk menguatkuasakannya kelak serta ia
akan menyebabkan majoriti rakyat negara kita berasa tidak selesa
sekiranya semua isu termasuk perkara yang hanya melibatkan prinsip
terpaksa dipatuhi hanya kerana ia mempunyai kekuatan undang – undang.
Semua pihak harus melihat kembali kepada
tujuan utama prinsip rukun negara dibuat lebih 40 tahun lalu iaitu
untuk mewujudkan suasana aman dan harmoni dikalangan rakyat negara kita
yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Untuk menjayakan tujuan utama ini, ia
harus dilakukan dengan cara yang sesuai seperti melalui proses
pendidikan berpanjangan bagi melahirkan kesedaran orang awam mengenai
kepentingan untuk mendukungi segala prinsip yang telah dinyatakan.
Tujuan utama ini tidak mungkin dapat
dilakukan sekiranya ia dilakukan secara paksaan serta hukuman yang
terdapat melalui proses undang – undang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan