Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) sekali lagi
ditangguhkan pada sidang dewan rakyat kali ini.
Usul yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu pada
awalnya disenaraikan sebagai item ke-10 dalam Kertas Perintah, di
belakang urusan kerajaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed sebelum itu mengumumkan empat rang undang-undang kerajaan akan
ditangguhkan kepada sidang parlimen yang akan datang dan rang
undang-undang Hadi ditolak ke item keenam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim
kemudiannya bertindak membentangkan usul supaya sidang Dewan Rakyat hari
ini berakhir hanya selepas lima rang undang-undang kerajaan diluluskan.
RUU355 yang dibentang oleh Hadi pada 6 April lalu bertujuan untuk memperkasakan kuasa mahkamah syariah.
Bagaimanpun, RUU itu tidak didebat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menundakan persidangan Dewan Rakyat.
Speaker membuat keputusan itu selepas Setiausaha Agung PAS Datuk
Takiyuddin Hassan menamatkan ucapannya menyokong pembentangan RUU
berkenaan.
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga Hadi membentangkan rang
undang-undang berkenaan. Kali pertama adalah pada 26 Mei tahun lalu.
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan termasuk penambahan
tempoh penjara lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam
sebatan kepada hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih
RM100,000 atau 100 sebatan dilaksana mengikut jenayah syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan