Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beberapa
syarikat anak-anaknya diserbu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan
menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan juga harus dijadikan sasaran serbuan sedemikian.
Dalam nada sinis Dr Mahathir menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk turut membuat serbuan sama terhadap keluarga
beliau.
"Mereka dialu-alukan untuk menyerbu... Malah ada juga cadangan supaya SPRM serbu saya dan anak-anak," kata Dr M.
Beliau berkata sepatutnya perdana menteri dan keluarga serta anggota jemaah menteri juga patut disiasat sama.
"Kita perlu tahu kekayaan dikalangan menteri. Saya pernah sebut tentang
(Datuk Seri) Zahid, dan kini (Datuk Seri) Hishamuddin mahu saya diserbu
dan disiasat. Malah saya cadangkan perlu juga serbu dan sasar (Datuk
Seri) Hishamuddin.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini
berkata, beliau tidak keberatan untuk disiasat oleh SPRM namun berkata
Dr Mahathir juga harus bersedia untuk disiasat.
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga naib presiden Umno minggu
lalu berkata, tidak wajar jika Zahid menawarkan diri untuk disiasat
manakala Dr Mahathir berdiam diri.
Polemik itu timbul selepas Dr Mahathir menuduh kononnya Zahid pernah memiliki RM230 juta sewaktu menjadi ketua pemuda Umno.
Zahid menafikan meraih sebarang pendapatan sebegitu menerusi rasuah.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata
siasatan LHDN ke atas syarikat yang berdaftar secara sah di negara ini
adalah amalan biasa.
Beliau kemudiannya berkata, Dr Mahathir dan anak-anaknya tidak perlu risau jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.
"Bagi saya, Tun Mahathir dan keluarga dia tidak perlu susah hati. Dia
tidak perlu berasa tersinggung kerana lawatan ataupun pemeriksaan yang
dilakukan pegawai-pegawai LHDN ke premis seperti yang dilakukan terhadap
anak dia dan mungkin syarikat yang ada kaitan dengan Tun Mahathir
adalah amalan biasa yang tidak jadi apa apa perkara kepada sesiapa pun.
"Kalau kita lihat, tindakan yang dilakukan oleh LHDN kepada keluarga
Tun Mahathir itu adalah atas rungutan orang ramai terhadap supaya
diambil tindakan. LHDN melakukan hari ini adalah berdasarkan laporan
yang dilakukan oleh rakyat Malaysia," katanya kepada Antarapos hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan