KUALA LUMPUR: Penyediaan khidmat pendamping guaman kepada mangsa
kesalahan seksual kanak-kanak antara konsep baharu yang diperkenalkan
menerusi pindaan Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017
(Akta 26).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata, khidmat ini diberikan khusus kepada mangsa yang masih merupakan
seorang kanak-kanak semasa prosiding di mahkamah.
“Perkara ini merupakan salah satu daripada lima pindaan yang dibuat
dalam RUU tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas beliau
membentangkan pindaan RUU itu di sidang Dewan Rakyat untuk bacaan kali
kedua hari ini.
Katanya, RUU itu juga bertujuan memastikan dana awam yang diperuntukkan
kerajaan bagi perkhidmatan bantuan guaman diberi kepada warganegara
Malaysia sahaja.
RUU tersebut antara lain memasukkan takrif bantuan guaman ke dalam akta
ini bagi memperjelaskan bentuk bantuan yang diberikan, menstruktur
semula peruntukan mengenai fi pendaftaran serta menambah baik ujian
kemampuan selaras dasar semasa kerajaan.
Dengan pindaan RUU itu, katanya, kerajaan menyelaraskan pemberian
perkhidmatan bantuan guaman kepada mereka yang berpendapatan rendah
seperti golongan E-Kasih, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan B40.
“Pindaan akta ini bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman
dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk
mendapatkan akses keadilan sewajarnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan