Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: ADUN Hulu Kelang Saari Sungib akan meneliti terlebih dahulu
sebelum menerima semula mandat NGO pro-pembangkang, Otai Reformis untuk
terus memimpin gerakan itu.
Saari yang baru sahaja melepaskan jawatannya selaku Pengerusi gerakan
penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, pendiriannya
terbarunya hanya akan dimuktamadkan selepas penelitian dibuat.
"Saya dapat panggilan daripada Saiful (Pemangku Setiausaha Otai
Reformis). Dia kata Otai akan terima dan (saya) diminta terus memimpin.
Saya tak tahu apa dia punya sebab dan butiran. Saya akan teliti dan saya
akan adakan perjumpaan dengan mereka dan berbincang lah.
"Saya akan terus teliti apa sebab-sebabnya yang sesuai dengan apa yang
dinyatakan semalam. Saya akan bincang lagi lah. Saya tidak ada buat
pendirian apa-apa lagi lah.
"Teliti dulu dan kalau perlu kita akan panggil mesyuarat dan saya perlu hadir," katanya kepada Antarapos hari ini.
Semalam, Pemangku Setiausaha Otai Reformis, Saiful Ariffin memberitahu
wujud kekeliruan di dalam ketetapan yang dicapai sewaktu mesyuarat pada
24 Julai lalu.
Sehubungan itu katanya, Otai Reformis menegaskan bahawa Saari akan terus memimpin gerakan itu.
Pada 24 Julai lalu Otai Reformis mengeluarkan kenyataan menolak
kepimpinan Tun Dr Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan
(PH) atau di peringkat kerajaan sebagai perdana menteri atau menteri
kanan, atau penasihat sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya.
Dalam kenyataan itu gerakan berkenaan berkata mana-mana pemimpin PH yang tidak bersetuju dengan pendirian itu harus berundur.
Ia menyaksikan Saari Sungib yang juga Timbalan Pengerusi Amanah
Selangor melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Otai Reformis selepas
ketetapan itu dibuat.
Dalam mesyuarat semalam juga, Saiful mengumumkan Otai Reformis
menyokong PH namun menegaskan kerjasama itu tidak boleh tanpa batasan.
Pendirian terbaru itu dicapai selepas gerakan itu bermesyuarat selama lebih kurang dua jam.
Gerakan itu juga sepakat mengambil ketetapan terbaru itu sejajar dengan
respon Anwar baru-baru ini bahawa beliau mengalu-alukan kesediaan Dr
Mahathir untuk bersama PH, dalam tujuan memperluas jaringan agenda
perjuangan pembangkang.
Mengulas berkenaan perkara itu, Saari berpendapat pendirian terbaru
gerakan bukan satu 'u-turn' ekoran masih lagi berperanan dalam membawa
suara penyokong akar umbi gabungan berkenaan.
"Dia tidak ada. Saya tidak nampak dia punya perubahan. Tapi ada berubah sikit saja lah.
"Dia begini mudah sahaja, kumpulan ni kebanyakannya pun anggotanya ahli
politik. Sebab kita nak menjadi satu badan yang memberikan satu
pandangan yang lebih tepat dengan kita. Dengan akar umbi yang ada di
kawasan, negeri dan sebagainya.
"Pandangan-pandangan penyokong PH itu sampai dalam konteks di akar umbi. Mereka ini memainkan peranan tersebut," jelasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan