KUANTAN: Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan menghilangkan perasaan
hormat rakyat kepadanya apabila melaga-lagakan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata
tindakan Dr Mahathir itu juga mendedahkan peribadi sebenar beliau
sebagai seorang yang tidak berpegang kepada prinsip kesetiaan yang
diterapkannya semasa bergelar pemimpin.
Dr Mahathir sebagai seorang negarawan juga harus sedar tindakan
menyerang Najib dan Ahmad Zahid bukan sekadar menyerang Umno, tetapi
juga membawa kepada kerapuhan perpaduan orang Melayu, kata Rosnah.
“Saya harap rakyat sudah dapat melihat wajah sebenar Tun M, beliau
pernah melakar sejarah yang baik untuk negara, tetapi sekarang
merosakkan legasi dan perpaduan yang beliau sendiri perjuangkan.
“Saya kira saya juga sudah hilang rasa hormat kerana beliau sendiri
mencalarkan perjuangan beliau sebelum ini. Nampaknya daripada menjadi
wira kepada kita semua, Tun M kini menjadi wira kepada pembangkang,”
katanya.
Rosnah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan
perwakilan Wanita Umno Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Dr Mahathir mengenai pertemuan beliau dan Ahmad
Zahid selepas 10 hari dilantik menjadi timbalan perdana menteri yang
kononnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
Sehubungan itu, Rosnah yang juga timbalan menteri kerja raya meminta
rakyat negara ini untuk tidak terperangkap dengan permainan politik Dr
Mahathir yang disifatkannya sanggup melakukan apa sahaja demi
kepentingan peribadi dan anak-anaknya.
“Perjuangan yang dibawa Dr Mahathir sekarang bukan perjuangan untuk
menyelamatkan negara, sebaliknya untuk selamatkan diri sendiri. Beliau
mendakwa bahawa Umno mempergunakan beliau selama 22 tahun, tapi
sebenarnya beliau yang mempergunakan orang Melayu dan Umno.
“Jangan terbawa-bawa dengan apa yang dikatakannya. Beliau mengajar
rakyat untuk menderhaka kepada pemimpin. Ketika ini, beliau adalah guru
terbaik untuk perkara negatif,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan