SHAH ALAM: Tindakan sebuah sekolah rendah di Hulu Langat yang
mengasingkan bekas minuman murid Islam dengan bukan Islam mengundang
kritikan ibu bapa dan netizen.
Difahamkan, bekas minuman yang bertanda 'Murid Islam' dengan 'Murid
Bukan Islam' diletakkan dalam rak bersebelahan mesin 'watercooler' di
sebuah blok di sekolah berkenaan.
Setakat ini, pihak pentadbiran sekolah berkenaan, Sekolah Kebangsaan
Taman Puteri, masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung
perkara itu.
Terdahulu, ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, Satees Muniandy
memuat naik gambar tersebut di Facebook sebagai membantah polisi di
sekolah itu.
"Inilah yang akan berlaku di sekolah aliran tunggal. Orang bukan Islam
diajar bahawa mereka berbeza dan tidak patut berkongsi cawan dengan
pelajar Islam," kata beliau.
Isu tersebut juga mengundang perhatian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Harussani yang dipetik portal Free Malaysia Today (FMT) menyifatkan
tindakan pengasingan bekas minuman itu sebagai perkauman di samping
mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.
"Jangan kita terlalu ‘rigid’ sampai kita (menimbulkan) kebencian orang.
Tak usah begitu. Islam cukup menjaga hubungan sesama manusia ini,”
katanya dipetik portal berkenaan.
Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata pihaknya sedang menunggu penjelasan Jabatan Pendidikan.
“Sekolah kebangsaan merupakan sekolah untuk semua tanpa mengira kaum dan agama,” kata Chong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan