PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata
Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, tidak akan
membenarkan sebarang campur tangan atau pihak yang tiada kaitan dengan
terma rujukan suruhanjaya itu.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya hanya akan
memfokuskan kepada terma rujukan, berikutan ada kekangan masa dan kuasa
oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menyiapkan siasatan dan
mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan
seperti yang ditetapkan, iaitu pada 13 Oktober ini.
"Pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk mendapatkan dan menerima bukti serta menjalankan pemeriksaan ke atas saksi," katanya.
Mohd Sidek berkata demikian dalam ucapan pembukaan prosiding hari
pertama suruhanjaya siasatan itu yang dijalankan di Mahkamah Rayuan di
sini, pagi tadi.
Sebelum itu, suruhanjaya menolak permohonan peguam pemerhati mewakili
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan
bantahan awal berhubung pelantikan Mohd Sidek dan seorang lagi anggota
suruhanjaya, Tan Sri Saw Choo Boon.
Mohd Sidek berkata, suruhanjaya itu dibentuk atas perkenan Yang
di-Pertuan Agong dan pihaknya berpuas hati bagi memulakan prosiding
tanpa mendengar bantahan awal peguam.
Beliau berkata, Dr Mahathir dan Anwar boleh diwakili dalam prosiding
itu, bagaimanapun isu yang akan dibangkitkan adalah berdasarkan kepada
terma rujukan suruhanjaya.
Terdahulu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr
Mahathir memohon diberi peluang untuk mengemukakan permohonan bertulis
berhubung bantahan awal itu atas alasan berat sebelah.
Katanya, ia berikutan Mohd Sidek sebelum ini adalah Pengerusi Pasukan
Petugas Khas (PPK) yang menjalankan siasatan awal yang mana laporan
akhirnya mendedahkan wujud kes prima facie dan siasatan kerugian urus
niaga mata wang asing (Forex) BNM, manakala Choo Boon adalah seorang
daripada anggota PPK.
Peguam, R Sivarasa yang mewakili Anwar turut mengemukakan permohonan
sama, memohon supaya peguam pemerhati diberikan peluang menyoal saksi
secara aktif sepanjang tempoh prosiding.
Pegawai pengendali suruhanjaya, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata peguam
pemerhati boleh mengemukakan permohonan kepada suruhanjaya jika hendak
mengemukakan soalan atau berbuat demikian melalui pegawai pengendali
yang dilantik secara rasmi untuk membantu prosiding.
Suruhanjaya kemudian menetapkan prosiding berlangsung selama 10 hari, bermula 21 Ogos ini.
PPK sebelum ini ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bekas Timbalan
Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid bahawa bank pusat itu kerugian
AS$10 bilion dalam tukaran wang asing pada 1990-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan