KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa
dakwaan perolehan ambulans KKM bernilai sehingga RM400 juta adalah tidak
tepat.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata jumlah sebenar perolehan ambulans adalah sebanyak RM225.2 juta.
"Perolehan kenderaan ambulans sebanyak 500 buah adalah berjumlah
RM225.2 juta sahaja di mana separuh daripada ambulans ini adalah jenis
ambulans spesifikasi penuh yang dilengkapkan dengan peralatan perubatan
terkini.
"Antara peralatannya adalah Advance Cardiac Care Device, Portable
Ventilator, Portable Medical Suction Unit, Foldable Stretcher with
Safety Belt, Syringe Perfusion Pumps dan Vital Sign Monitor," katanya
dalam satu kenyataan.
Chaw Min berkata, sejak tahun 2010, sebanyak 925 buah ambulans telah diperoleh dengan nilai hampir RM389 juta.
"Diharapkan dengan kenyataan ini ia dapat mengelakkan kekeliruan sekali
gus menghalang pihak tidak bertanggungjawab memutar belitkan fakta
sebenar," katanya.
Semalam, laporan media menyebut KKM memperuntukkan sebanyak RM400 juta
bagi mengagihkan 500 unit ambulans berspesifikasi baharu secara
berperingkat kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara bagi
menambah baik dan memantapkan Perkhidmatan Rawatan PraHospital dan
Ambulans di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan