Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pimpinan PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bersetuju
dengan pendirian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad
bahawa lupakan isu 'mohon maaf atas kesilapan lampau' dan fokus kepada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Abdullah berkata semua parti dalam pembangkang harus lupakan apa yang
sudah berlaku dan terus mara untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional
(BN) pada pilihan raya akan datang.
"Yang penting kita nak ke depan. Kita kena ke depan dalam semua
pertembungan kita dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dan juga kumpulan
yang bersekongkol dengannya. Isu yang kebelakang ini, isu yang sebelum
ini ialah isu yang menjadi sejarah.
"Bila jadi sejarah, kita perbaiki lah sejarah. Itu yang sepatutnya kita
renung sebab kita nak kedepan. Jangan fikir banyak sangat benda yang
lepas sebab sekarang ini kita nak kalahkan Umno-BN. Kita nak fokus
pilihan raya, bukan sahaja Umno tetapi mereka yang bersekongkol dengan
mereka," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang
mempersoalka perlukah beliau memohon maaf terlebih dahulu sebelum boleh
mengguling Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam temubual secara langsung menerusi laman Facebook bersama portal
The Malaysian Insight kelmarin, Dr Mahathir mendakwa desakan untuknya
memohon maaf adalah isu kecil.
“Adakah saya perlu meminta maaf terlebih dulu dan kemudian barulah saya boleh melawan Najib?
“Sebenarnya ini adalah hal kecil. Perkara utama ialah melawan kleptokrasi di Malaysia,” kata Dr Mahathir.
Awal pembabitan Dr Mahathir dalam parti pembangkang, beliau dituntut
memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
keluarganya, namun beliau tidak berbuat demikian hingga hari ini.
Dr Mahathir juga kerap disoal rakyat yang hadir dalam beberapa forum
berhubung pentadbirannya selama 22 tahun menjadi perdana menteri.
Bekas Presiden Umno itu juga berdepan saat tegang apabila beliau
ditanya perihal tragedi Memali dalam forum Nothing To Hide 2.0 di Shah
Alam, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan