HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 September 2017

AMK Cabar PAS Letak Jawatan Jika Bertegas Mahu Tanding 42 Kerusi DUN Selangor

–PAS dicabar untuk meletakkan jawatan mereka dalam pentadbiran Selangor serta-merta jika parti Islam itu bertegas mahu bertanding 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kata setiausaha Aangkatan Muda Keadilan negeri, Syed Badli Shah Syed Osman.

Syed Badli berkata kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi yang mahu bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN bermaksud parti Islam itu mahu pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

“Seharusnya semua pemegang-pemegang jawatan PAS di dalam kerajaan Selangor sekarang harus melepaskan jawatan mereka berikutan kesediaan mereka untuk bertembung tiga penjuru.

“Di kala ini kita bekerjasama berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu. Namun kerjasama ini akan berakhir apabila PAS bersedia untuk bertembung pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha AMK pusat turut sangsi dengan hasrat PAS itu yang dilihat sengaja memberi kelebihan kepada UMNO BN melalui pertandingan tiga penjuru.

“Kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN di Selangor termasuk di kerusi KEADILAN dilihat sebagai langkah tempang untuk memperkukuh kerajaan sedia ada malah memberi kelebihan kepada Umno dan BN apabila pertembungan tiga penjuru berlaku.

“Apakah niat PAS sebenarnya? Adakah PAS sengaja mahu beri ruang kepada Umno dan BN kembali berkuasa di Selangor?

“Dengan mengumumkan secara terbuka kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN, ini bermakna PAS bersedia untuk bertembung tiga penjuru,” katanya.

Syed Badli berkata jika agenda rakyat masih menjadi pilihan PAS, maka parti itu harus memastikan pertandingan satu lawan satu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Rendahkan ego dan kembali ke meja rundingan. Namun sebaliknya jika PAS mahu gadaikan Selangor kembali ke tangan BN, maka PAS adalah musuh yang nyata.

“Semoga agenda rakyat terus dipertahankan melalui Pakatan Harapan. Perkemaskan jentera dan siap siaga menghadapi musuh yang nyata,” katanya.

PAS Selangor Ulangi Ikrar Mahu Tanding 42 Kerusi DUN

Tiada ulasan: