shahbudindotcom
Siapa "kencing" siapa?
Adakah
majoriti rakyat terasa telah "dikencing" bila Najib Razak tidak
semena-mena didapati sanggup mengadakan sidang media yang besar, tetapi
pengumumannya hanyalah mengenai perkara kecil iaitu kembalinya bekas
Menteri Besar Selangor yang sudah lama "expired", Muhammad Mohd Taib
menyertai semula UMNO?
Atau adakah Najib sendiri sebenarnya turut "kena kencing" dengan Mat Taib?
Beberapa
jam selepas sidang media khas Najib yang akhirnya menjadi bahan ketawa
dunia dan membuatkan wajahnya dikatakan lebih banyak mencuka berbanding
ceria, berlegar perkhabaran bahawa mengikut perancangan awal terdapat
lapan Adun PKR Selangor akan turut menyertai UMNO bersama-sama dengan
Mat Taib.
Lantaran
penyertaan lapan Adun PKR itu dianggap suatu berita besar dan boleh
meruntuhkan kerajaan negeri Selangor kiranya diikuti dengan berpaling
tadahnya 13 Adun Pas menyokong UMNO, seterusnya merupakan rangsangan
untuk mengadakan PRU 14, itulah yang dikatakan menjadi asas mengapa
Najib bersedia mengadakan sidang media khas, sambil mengarahkan semua
Ahli MT hadir serta Zahid Hamidi diminta memendekkan lawatannya ke
Perlis.
Seorang
bekas Ahli Parlimen yang pernah rapat dan suatu ketika dahulu selalu
berhubung dengan Mat Taib mengesahkan beliau ada dimaklumkan daripada
sumber yang boleh dipercayai mengenai kemasukan lapan pemimpin PKR ke
dalam UMNO bersama bekas Menteri Besar Selangor itu.
Menurut
beliau, selain Mat Taib, penyeberangan kiblat politik lapan Adun PKR
berkenaan turut direncanakan bersama seorang Ahli MT UMNO yang diketahui
mempunyai hubungan rapat dengan Najib.
Namun,
kata bekas Ahli Parlimen itu, beliau tidak mengetahui secara detail
siapakah lapan Adun yang didakwa mahu menyertai UMNO itu.
Soalnya, mengapa lapan Adun PKR tersebut tidak muncul?
Benarkah mereka pernah terlibat dalam perbincangan untuk menyertai UMNO?
Siapakah pula lapan Adun tersebut?
Adakah
mereka tidak muncul kerana urusan jual beli dan penetapan harga yang
sesuai gagal mencapai kata sepakat di saat-saat akhir atau ianya
disebabkan oleh faktor-faktor lain yang hanya mereka saja mengetahuinya?
Jika
diketahui tiada penyertaan lapan Adun PKR itu atau rundingan menjadi
gagal, mengapa ia tidak dimaklumkan kepada Najib lebih awal supaya
beliau dapat membatalkan atau tidak menghadiri sidang media berkenaan?
Kenapa Najib dimalukan sebegitu rupa?
Mungkinkah
sebetulnya isu lapan Adun PKR itu hanya penyedap cerita yang sebenarnya
sengaja direka supaya Mat Taib dapat membuatkan kemasukannya semula ke
dalam UMNO disambut sendiri oleh Najib dan seluruh Ahli MT?
Kalau begitu, tidakkah bermakna Mat Taib telah "mengencing" Najib secara sedar dan sengaja?
Beraninya
Mat Taib berbuat sesuatu yang tidak manis terhadap Pahlawan Bugis yang
gagah lagi berani di mana kapal pun mahu dilayarkannya ketika sauh turut
dilepaskan sama!!
Tidak
mustahilkah pula berita tentang lapan Adun PKR itu adalah perkara
benar, tetapi telah dapat dihidu lebih awal oleh Azmin Ali, lalu
kemudian memintas dan menggagalkannya?
Tidak
berhasratkah pihak-pihak terbabit - Najib, Mat Taib, seorang Ahli MT,
lapan Adun PKR terbabit dan Azmin sendiri - mahu tampil mendedahkan
cerita sebenarnya dalam sehari dua ini?
Jika
semua terus berdiam diri dan enggan berkongsi, yang paling malu
tentulah Najib sendiri kerana beliau didapati telah riuh sekampung untuk
menjemput orangramai datang makan kenduri, tetapi yang dihidangkannya
hanyalah kopi o saja.
Bagaimana dengan Mat Taib? Kenapa terus mendiamkan diri selepas diraikan menyertai semula UMNO?
Menurut
bekas Parlimen yang pernah rapat dengan Mat Taib tadi, lewat malam
semalam, selepas saja berakhirnya sidang media kemasukannya ke dalam
UMNO, bekas Menteri Besar Selangor itu telah pun berlepas ke London
bersama keluarganya.
Sekali lagi timbul persoalan, kenapa beliau terlalu cepat pergi ke luar negara?
Melarikan diri daripada apa?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan