Pada Isnin 4/9/17 saya ada tweet dlm
twitter @ahmadmaslan satu kenyataan “Kenapa ada jualan murah? Banyak
bulan dlm setahun. Itu 1 bukti #GST boleh mengurangkan harga barang.
Jika sale 30% tolak GST 6% maka untung 24% “. Tidak dijangka pula ia
telah mengundang pelbagai pandangan.

Elok saya perjelaskan perkara ini
untuk lebih difahami. Hingga sekarang, masih ada di luar sana yang
mempertikaikan kenyataan saya sebelum ini bahawa GST boleh mengurangkan
harga barang. Jadi saya juga berhak untuk membela diri, walau GST bukan
lagi di bawah tugasan saya.
Kini saya melihat bahawa kenyataan
harga barang boleh turun sebab GST itu sedang berlaku bila jualan murah /
“sales” dibuat merata tempat hinggakan KPDNKK mengarahkan jualan murah
tidak boleh dibuat lebih daripada 4 kali dalam masa setahun. 3 kali pada
waktu yang ditentukan oleh KPDNKK dan sekali oleh peniaga sendiri.
Lihat www.kpdnkk.gov.my dan kenyataan akhbar yang saya sertakan dalam tweet itu.
Apa maksud jualan murah? Maksudnya
dengan lain perkataan harga barang diturunkan oleh peniaga. KPDNKK
bertegas untuk pastikan ketulenan tawaran murah. Antara lain, perlu ada
rekod-rekod harga barang itu hingga 6 bulan terdahulu, pamerkan harga
sebelum dan selepas tawaran dan minima murah 10% daripada harga asal.
Maksima tawaran harga murah terpulang kepada peniaga, ada 20%, 30%, 50%
hingga 70-80%.
Jika GST sentiasa menaikkan harga
barang, jualan murah tidak boleh dibuat. Tapi hakikatnya, teori GST
telah berulang kali disebut boleh mengurangkan kos perniagaan. Elemen
cukai input dalam GST memang membantu mengurangkan kos dan terpenting
dapat juga mengelak penipuan cukai. Jika kos berkurang, maka jualan
murah boleh dibuat.
Seperkara lagi, GST telah mengurangkan
cukai. Sepatutnya bila cukai kurang maka harga barang juga berkurang.
Ada barangan yang dulu SSTnya 5% sekarang jadi “zero-rated”. Ada banyak
barang yang dulu bercukai tinggi 10% masa SST, kini turun kepada 6% GST.
Semua ini menjadi sebab jualan murah boleh dibuat.
Tambahan pula, selepas GST dilaksana,
pengguna telah menangguhkan pembelian kerana beranggapan harga barang
sedang naik. Faktor psikologi ini menyebakan permintaan / “demand” terus
merosot. Untuk menarik semula pelanggan membeli, peniaga tiada pilihan
selain mengurangkan keuntungan dengan mengadakan jualan murah. Fenomena
ini berlaku di semua 170 negara yang melaksanakan GST / VAT di seluruh
dunia.
Walau pun ada jualan murah, GST perlu
terus dibayar juga kecuali kepada banyak barang keperluan harian yang
“zero-rated”. Sila lihat www.gst.customs.gov.my Maka saya sebut satu
contoh jika jualan murah 30% tolak bayaran GST 6% jadi penjimatan atau
manfaat secara kasar atau faedah atau untung jualan murah itu jadi 24%.
Ini adalah kiraan yang mudah, hanya perbandingkan peratusan jualan murah
dengan peratusan GST. Dalam akaun twitter, ayat hanya ringkas.
Namun jika dikira harga barangnya
dengan teliti, peratusan itu berubah. Kita ambil contoh barang berharga
rm100 yang belum dicampur GST, ada jualan murah 30%. Maka harga kini
ialah rm70. Kena bayar GST 6% atas rm70 itu maka jadi rm74.20.
Penjimatan daripada rm100 tadi jika ditolak rm74.20 ialah rm25.80.
Penjimatan atau untung rm25.80 atau 25.8% ini lebih kurang hampir 26%.
Tetapi jika rm100 itu dicampur GST 6% terlebih dahulu, lain pula peratus
penjimatannya.
Bagaimana pun kiraannya, rumusan
penting ialah jualan murah itu menandakan harga barang boleh diturunkan
pada zaman GST. Itu mesej utama yang ingin saya sampaikan. Dan ini
sesuai dengan kenyataan saya dahulu bahawa GST boleh mengurangkan harga
barang.
Oleh itu, saya ingin mengesyorkan agar
pengguna yang ingin membeli barang yang tidak selalu dibeli dan ada GST
seperti pakaian, perabut, telefon bimbit, alat solek, barangan
elektrik, pinggan mangkuk, motorsikal, kereta dan lain-lain, belilah
ketika ada jualan murah. GST masih dibayar tapi dengan harga yang lebih
murah dan ada peratus penjimatan.
Barang-barang keperluan harian yang
selalu kita beli seperti beras, tepong, mee, roti, garam, gula, semua
sayuran, semua buah-buahan, semua makanan laut basah dan kering, ayam,
telur, daging, kambing, minyak masak, gas masak, air paip, ron 95 dan
lain-lain, semuanya itu “zero-rated”, tiada GST.
Pengguna ada kuasa 3M iaitu memilih,
memboikot dan melapor. Oleh itu, kita perlu jadi pengguna yang bijak.
Peniaga pula mesti menyedari bahawa tanpa pengguna dan pembeli,
perniagaan mereka akan berakhir. Oleh itu, jangan mengambil kesempatan
ketika pelaksanaan GST ini. Teori yang telah berlaku di negara lain
tentang GST, akhirnya lambat laun berlaku juga di negara ini.
DATUK AHMAD MASLAN adalah Timb. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Parlimen Pontian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan