Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menurukan tandatangan sebagai gimik
perasmian sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali
Hamsa (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Datuk
Mohd Sallehuddin (kanan) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk
Seri Salleh Said Keruak (dua kiri) pada Majlis Perasmian Agensi
Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di Bangunan Perdana Putra,
Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL.
PUTRAJAYA – Industri seni dan budaya dijangka mampu
menyediakan peluang pekerjaan sekaligus dapat menangani isu kos sara
hidup selepas tertubuhnya Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan
(CENDANA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi
CENDANA, bakat anak muda dapat diketengahkan dan dibangunkan sebelum ia
dipasarkan untuk menjana pendapatan.
“Rakyat Malaysia mempunyai daya kreativiti tinggi di mana kita tidak
ketandusan bakat, bahkan kita kaya dengan ramai anak muda yang sanggup
ke depan dan bangunkan bakat mereka dalam seni dan budaya,” katanya
berucap merasmikan CENDANA di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian
Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di Bangunan Perdana
Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL,
Hadir sama Penasihat Komunikasi Korporat Perdana Menteri, Datuk Seri
Ahmad Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina
Datuk Mohd Sallehuddin.
CENDANA ditubuhkan oleh kerajaan menerusi MyCreative Ventures, satu usaha yang diumumkan dalam Bajet 2017 Malaysia.
CENDANA akan menumpukan usaha menyokong pembangunan sektor seni dan
budaya dalam industri kreatif dan mempromosikannya kepada khalayak
ramai.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia perlu penjenamaan semula dalam
industri seni dan budaya agar ia mudah dikenali seperti mana yang
dilakukan negara-negara luar.
“Ada sesetengah negara jenama mereka kuat, Korea ada budaya K-Pop,
India dengan filem Bollywood, Bali dengan budaya tempatan tapi kita ada
jenama sendiri, tapi kita perlu promosikannya, kita kena perkasakannya,
“Saya yakin kalau kita melakukan perkara ini, ia boleh jadi satu jenama yang kuat untuk Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengumumkan seni dan budaya kini merupakan aset baharu kepada ekonomi Malaysia.
“Kalau kita belanja RM1, ada pelbagai kesan berganda kepada ekonomi negara.
“Kita melihat seni budaya sebagai satu bidang bukan saja kita
mengeluarkan peruntukan atau perbelajaan saja, tapi ia mesti ada
pulangan yang boleh kita buat penilaian dan ukurannya,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan