shahbudindotcom
Kuasa
imigresen yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak kembali menjadi
perbualan hangat apabila beberapa pemimpin Pakatan Harapan dihalang
memasuki Sarawak semalam.
Ahli
Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya
Selatan, Hee Loy Sian dihalang sebaik tiba di Miri, manakala Adun Kuala
Sepetang, Chua Yee Ling diusir keluar meninggalkan Sarawak ketika sedang
menghadiri program anjuran PKR, juga di Miri.
Berikutan
kebimbangan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang
dijadulkan terbang ke Miri malam semalam telah membatalkan
penerbangannya di saat-saat akhir kerana bimbang akan menerima nasib
yang sama.
Dalam
waktu yang sama, hari ini Tun Mahathir Mohamad buat pertama kalinya
akan menjejakkan kakinya ke Sarawak atas kapasitinya sebagai Pengerusi
Pakatan Harapan.
Meskipun
Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg memberi jaminan
bahawa Tun Mahathir akan dibenarkan masuk kerana katanya bekas Perdana
Menteri itu bukan seorang pelampau serta tidak memberi ancaman, tetapi
tentulah kebenaran itu bukan sesuatu yang kekal buat selama-lamanya.
Kiranya
program Tun Mahathir di Kuching hari ini mendapat sambutan hangat dan
beribu-ribu rakyat negeri itu menghadirinya, kemudian beliau datang lagi
untuk beberapa kali, kalau pun Abang Johari masih boleh bersikap
terbuka, ia tentulah akan menimbulkan kebimbangan kepada Najib Razak
yang akhirnya akan berbisik kepada Ketua Menteri agar segera menggunakan
kuasa menyekat kemasukan Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Menghalang
kemasukan beberapa pemimpin pembangkang ke Sarawak bukanlah perkara
asing sejak kebelakangan ini. Pada pilihanraya negeri yang lalu,
sederetan pemimpin Pakatan Harapan dihalang atas alasan kehadiran mereka
mengancam keharmonian rakyat Sarawak.
Di mana logiknya kedatangan semasa kempen pilihanraya didakwa mengancam keharmonian rakyat?
Bukankah
pilihanraya dan berkempen merupakan suatu proses yang dibenarkan dalam
undang-undang negara dan tidak ada sesiapa sepatutnya dihalang daripada
menyertainya kerana Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada
Malaysia?
Semua
orang sedar kuasa imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah perjanjian
yang memang termaktub ketika pembentukan Malaysia dahulu. Ia mungkin
sesuai pada ketika awal penyatuan dahulu, tetapi yang menjadi isu
sekarang ialah ia cenderung disalahgunakan untuk kepentingan politik
dan sekatan yang dibuat juga semata-mata atas pertimbangan politik.
Sebagai
sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Malaysia Timur ketika ini sudah
matang serta ramai yang berpendidikan, telah tiba waktunya kuasa
imigresen itu dikaji semula dengan suatu kelonggaran yang munasabah,
kalau pun tidak dihapuskan sama-sekali.
Beri
kebebasan kepada sesiapa saja untuk datang ke Sabah dan Sarawak tanpa
sekatan, terutama ketika musim kempen pilihanraya atau menghadiri
program parti.
Sekatan mungkin boleh dilakukan kepada individu yang dikenalpasti sebagai pengganas atau pelampau kaum dan agama yang tegar.
Di mana demokrasi dan keterbukaan suatu tamadun jika sekatan ketika pilihanraya masih wujud di alaf ini?
Di
mana logiknya juga kita sesama rakyat Malaysia, tetapi masih wujud
sekatan atau halangan untuk masuk ke negeri-negeri tertentu?
Jika
keselamatan dan keharmonian yang dibimbangi, bukankah negara ada
undang-undang lain seperti Akta Hasutan, OSA, kuasa polis dan sebagainya
yang boleh dikuatkuasakan kepada mereka yang dilihat mendatangkan
ancaman?
Selain
itu, dengan mewujudkan kebebasan keluar masuk antara Sabah, Sarawak
dengan Semenanjung, ia secara tidak langsung akan memantapkan lagi
intergrasi nasional yang menjadi impian dan sebutan semua pemimpin
selama ini.
Keadaannya
sekarang jelas tidak memberi keadilan melalui kuasa imigresen tersebut.
Ini kerana hanya penduduk Semenanjung boleh dihalang daripada memasuki
Sabah dan Sarawak, tetapi rakyat kedua-dua negeri tersebut boleh bebas
keluar masuk ke Semenjung tanpa sebarang halangan.
Demi
masa depan Malaysia yang lebih baik, perubahan harus segera dilakukan.
Ternampak mustahil untuk mengharapkan Najib dan BN ada keberanian
melakukan perubahan itu.
Perubahan
ini mesti dilakukan oleh Pakatan Harapan. Seiring dengan janji Pakatan
Harapan untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah
dan Sarawak selepas memenangi PRU 14 akan datang, ia akan lebih mantap
jika diiringi dengan kesediaan mengkaji semula kuasa imigresen tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan