Semasa YAB Perdana Menteri mengumumkan
penyertaan semula Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bersama-sama UMNO,
ramai yang beranggapan kejutan yang dibawakan itu tidak begitu menjadi,
malah kelompok pembangkang merupakan antara kelompok yang memperlekeh
tindakan berkenaan. Mereka beranggapan Muhammad sebagai tokoh politik
yang sudah hilang taring dan tidak mempunyai apa-apa pengaruh lagi.
Walaupun hal berkenaan hanya khabar angin, namun di dalam pembangkang sendiri telah berlaku ribut dan kekecohan sesama mereka menafikan wujud hal berkenaan. Ini jelas membuktikan walaupun tiada sebarang asas kukuh mengaitkan penyertaan semula Muhammad bersama-sama UMNO sebagai sebahagian daripada perancangan menjatuhkan Kerajaan Selangor, namun pembangkang di negeri berkenaan tersentak buat seketika dan dalam masa sama menarik nafas lega kerana tiada apa-apa yang bakal berlaku.
Namun begitu, apa yang melucukan ialah kenyataan Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Azmin Ali yang menafikan wujud sebarang percubaan daripada ADUN dalam kalangan partinya yang mahu menyertai UMNO. Malah Azmin juga menyelar percubaan sedemikian dan meminta UMNO dan YAB Perdana Menteri untuk bertanggungjawab dan menghormati prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
Sekali lagi ditegaskan kenyataan Azmin tentang prinsip demokrasi dan soal tanggungjawab sebenarnya amat melucukan. Azmin mungkin terlupa tentang usaha Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membawa masuk beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai pakatan pembangkang dan menumbangkan Kerajaan BN menggunakan jalan belakang di dalam angan-angan terhebat sepanjang zaman pada 16 September 2008.
Malah Azmin dilaporkan pada 13 Mei 2008 menyatakan dengan jelas seperti didedahkan Wikileaks bahawa akan ada beberapa Ahli Parlimen dari BN akan mengumumkan penyertaan di dalam pakatan pembangkang menjelang 18 Mei 2008 dan Azmin dilaporkan sebagai berkata tindakan berkenaan amat penting. Jelas sekali Azmin bukanlah pendukung amalan demokrasi tulen atau menghargai sokongan rakyat. Dalam keadaan yang memihak kepada parti sendiri Azmin akan menjulang prinsip lompat parti, namun dalam keadaan sebaliknya lompat parti akan dilihat Azmin sebagai tindakan yang membelakangkan demokrasi.
Sebenarnya usaha menarik sokongan untuk membentuk Kerajaan melalui jalan tidak demokratik sewajarnya dihentikan dan tidak disokong. Ini satu bentuk pembulian terhadap kuasa undi yang ada pada rakyat. Justeru, setiap parti politik wajar memiliki keseimbangan dalam soal ini dan tidak prejudis terhadap kepentingan parti. Apa yang penting prinsip harus ditegakkan dan sebarang percubaan seperti ini wajar ditentang dan bukannya bersikap tidak siuman dengan menganggap apa yang diusahakan oleh parti lain sebagai buruk, tetapi jika parti sendiri melakukannya perkara buruk itu boleh bertukar suci.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan