PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Pakatan Harapan (PH)
mempunyai beberapa calon yang mampu menjadi perdana menteri jika pakatan
itu mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi PH bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu-individu
berkenaan dan parti mereka kerana bimbang mencetuskan kontoversi.
“Kita ada beberapa calon tetapi kita tidak mahu terlalu menonjolkan
mereka kerana banyak kontroversi mungkin tercetus dan sebagainya
“Tetapi kita mempunyai ramai yang berkebolehan di Malaysia untuk
menjadi perdana menteri,” katanya dalam temubual bersama CNBC semalam.
Namun pendedahan Dr Mahathir itu dilihat berlawanan dengan hasrat PKR
yang sering mempertahankan bahawa hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
menjadi perdana menteri.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir menyatakan perkara sedemikian,
sebelum ini ketika perwakilan di kongres nasional PKR 21 Mei lalu
membawa sepanduk menyokong Anwar untuk jawatan perdana menteri.
Dr Mahathir dilihat tidak memegang sepanduk “Anwar PM ke-7”, sebaliknya hanya merakam suasana itu melalui telefon bimbitnya.
Beliau juga pernah menyatakan bahawa tidak akan menolak sekiranya
diminta untuk menjadi perdana menteri sekali lagi, tetapi dengan syarat
semua pemimpin dalam PH bersetuju.
Pada 26 Mei, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa
Dr Mahathir tidak membantah Anwar dinamakan sebagai pilihan PH untuk
jawatan perdana menteri.
Pada 13 Jun, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkeras Anwar bakal
perdana menteri pilihan PH tetapi hanya akan menjadi perdana menteri
yang ke-8 bukan ke-7 kerana beliau berada di penjara dan dilarang
memegang jawatan awam selepas dibebaskan nanti melainkan diampunkan.
Ekoran percanggahan yang disiarkan melalui media mengenai hal itu,
Anwar yang sedang melalui hukuman penjara 5 tahun selepas disabit
kesalahan meliwat, mengumumkan pada 17 Jun beliau tidak bertanding untuk
jawatan tertinggi itu.
Pada 18 Julai, Dr Mahathir akhirnya berkata beliau sanggup menyokong
Anwar sepenuhnya untuk jawatan perdana menteri “jika itu yang rakyat
mahukan.”
Beliau berkata PH sedang menunggu waktu sesuai sebelum mengumumkan
pilihan perdana menteri, mengatakan ianya satu strategi yang menggunakan
“elemen kejutan” pada pilihan raya seterusnya.
Semasa bercakap dengan CNBC, Dr Mahathir yang berumur 92 tahun itu
berkata, mengumumkan senarai calon tidak sesuai masa ini, dan
pembangkang patut kekal fokus menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN)
di bawah pentadbiran Najib Razak.
“Ia (menamakan mereka) akan menyebabkan ramai orang berdebat dan
mencetuskan pelbagai tuduhan palsu terhadap mereka, dan mereka akan
sibuk cuba membela mana-mana calon yang tidak akan menjadi perdana
menteri,” beliau dipetik berkata.
“Saya tidak terfikir untuk memerintah, saya hanya fikirkan bagaimana
mengalahkan Datuk Seri Najib pada pilihan raya seterusnya dan nampaknya
ramai orang memberi respons kepada apa yang saya lakukan.
“Kami yakin kami akan menang, tetapi kami harus berdepan lelaki yang
sanggup melakukan apa saja demi kuasa,” tambahnya, merujuk kepada Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan