HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 September 2017

Siswi disaran pilih bidang Stem

Siswi disaran pilih bidang Stem
Rosmah bergambar bersama peserta Program Siswi Cinta Negara di UiTM Merbok, semalam.
 
 
SUNGAI PETANI - Siswi  disarankan memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (Stem) sebagai bidang akademik dan kerjaya, selain mempelbagaikan kemahiran supaya  kekal berdaya saing.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, jumlah mahasiswa yang mengikuti program Stem berkurangan, berbanding sasaran kerajaan iaitu daripada nisbah 20:80 kepada 60:40.

“Berdasarkan Laporan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi: Menjelang 2020 mendapati peratusan penuntut yang cenderung kepada bidang ini menunjukkan trend semakin menurun setiap tahun.

“Menyedari peralihan dunia industri kepada bidang Stem, kita perlu bersiap siaga menyediakan sumber tenaga kerja dalam bidang ini agar dapat memenuhi keperluan negara dalam masa 25 tahun akan datang.

"Justeru, perhatian serius diperlukan untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang ini,” katanya pada Program Siswi Cinta Negara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sementara itu, Rosmah yang juga Penaung Permata berkata, kepentingan Stem dalam memenuhi keperluan modal insan negara di masa hadapan, dua program di bawah Permata Pintar dan Permata Insan mengetengahkan silibus pembelajaran yang menjurus kepada bidang Stem.

“Kini, program itu melahirkan graduan cemerlang dalam bidang Stem dan ada yang sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti terkemuka luar negara.

“Saya yakin, sekembalinya ke tanah air, mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara dalam industri Stem,” katanya.

Rosmah juga meminta golongan siswi  mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu dalam usaha mendepani cabaran Industri 4.0 yang  mementingkan penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving, Communication, Collaboration and Creativity.

“Kemahiran ini perlu diasah dan dipraktikkan, sama ada  dalam pembelajaran, kesukanan dan aktiviti sosial.

"Malah kreativiti dan inovasi, literasi teknologi serta kecerdasan emosi dianggap sebagai kemahiran ‘top-three’ yang perlu ada kepada seseorang pekerja di era Industri 4.0,” katanya.

Menurutnya, siswi juga perlu menguasai teknologi terkini atau ‘Digital Fluency’ dalam usaha memastikan wanita muda kekal berdaya saing dalam semua bidang.

“Wanita tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan teknologi kerana ia adalah ‘21st Century Skill’.

"Mereka perlu berani berubah mengembangkan keupayaan menggunakan teknologi digital kerana penguasaan dapat melonjakkan kemajuan kendiri dan kerjaya wanita kelak,” katanya.

Program berkenaan menghimpunkan 1,500 mahasiswi dan wanita muda serta NGO di seluruh Kedah.

Tiada ulasan: