HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Oktober 2017

Jurang Pembangkang-Rakyat



Kita berada dalam zaman yang tidak menentu. Sungguhpun saban hari kita dihubungkan dengan jaringan sosial yang luas melalui Facebook, Whatsapp dan sebagainya, hakikatnya kita tidak memahami antara satu sama lain. Malah kita gagal memahami cara laman sosial beroperasi dengan “big data”-nya. Ia merapatkan mereka yang senada, di samping menjarakkan mereka yang berbeza.

Akhirnya kita menang sorak di kalangan kelompok sendiri, namun gagal menawan hati kelompok yang lain.

Beberapa fenomena yang agak membimbangkan jikalau diteliti. Untuk dua tahun kebelakangan, pemimpin pembangkang membedil regim Najib-UMNO-BN dengan skandal 1MDB, namun satu kaji selidik oleh Merdeka Center pada Ogos 2017 menunjukkan hanya 6% anak muda menganggap isu ini penting kepada mereka. Ini bukan bermaksud 1MDB tidak mustahak, tetapi persoalan yang lebih besar – mengapa anak muda tidak memandang berat skandal ini?

Jikalau skandal kewangan yang mewariskan hutang yang lebih tinggi dari Menara Kembar KLCC kepada generasi akan datang pun diremehkan, apatah lagi dengan analisis perang tiga penjuru dalam PRU14? Pertikaian sama ada perang tiga penjuru menguntungkan Pakatan Harapan atau sebaliknya telah berlanjutan untuk sekian lama, lebih kalut apabila pihak yang berbeza pandangan mengemukakan hasil soal selidik untuk menyokong pendirian masing-masing.

Lantas ruang wacana sarat dengan perbahasan angka, dengan formula 5%+10% dan andaian yang pelbagai. Kemudian diuar-uarkan pula “Tsunami Melayu” bakal menenggelamkan UMNO. Secara jujur, saya sangsi dengan keberkesanan perbincangan strategi secara terbuka ini. Jikalau benar momentum Tsunami Melayu itu menunggu masa untuk meledak, mengapa kita hanya berpusu-pusu ke stesen minyak pada setiap Rabu apabila harga minyak diumumkan naik keesokannya, tetapi bukan berdemonstrasi di jalan raya?

Dari perspektif pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan pengagihan kuasa, sememangnya pertukaran kerajaan persekutuan memiliki makna yang besar dalam konteks politik Malaysia terkini.

Namun, pembangkang kita sama ada terikut-ikut dengan rentak retorik kaum dan agama yang didendangkan UMNO, ataupun terperangkap dalam perbalahan sesama diri. Isu yang besar, keras dan serius gagal dicairkan ke dalam hidup harian rakyat, atau diolah untuk mendapat restu pengundi.

Lebih dahsyat, perjuangan pembangkang ditonjolkan seolah-olah hanya untuk merebut kuasa, sehingga menimbulkan rasa jemu di kalangan rakyat.

Dengan kata lain, tatkala pemimpin Pakatan Harapan berapi-api membincangkan isu besar seperti 1MDB dan GST, ia gagal menggambarkan bagaimana masalah rakyat jelata pelbagai lapisan ditangani. Misalnya, seorang penjual burger tepi jalan, bersama anak-anaknya yang terpaksa menyiapkan kerja sekolah dengan meminjam cahaya lampu dari gerai burgernya – Apakah jaminan yang boleh ditawarkan PH untuk keluarga sebegini?

Itu belum lagi jikalau sepasang suami-isteri diuji dengan kelahiran OKU di keluarganya. Bagaimana masyarakat kita menghulurkan tangan kepada keluarga ini, agar OKU juga dilayan sebagai manusia yang sama haknya dengan insan lain? Seandainya seseorang anggota masyarakat ditimpa kemalangan, dijangkiti penyakit yang menelan kos perubatan yang tinggi – sejauh manakah sumber boleh diperuntukkan kepada mereka agar talian hidupnya tidak terputus lantaran kemiskinan?

Isunya tetap ekonomi. Satu Kajian Kemasukan dan Keupayaan Kewangan yang dikendalikan pada tahun 2015 mendapati, 32% rakyat Malaysia hanya mampu menampung perbelanjaan untuk seminggu, sekiranya mereka hilang punca pendapatan. Lebih 75% rakyat Malaysia sukar untuk menabung, dan gagal mengeluarkan RM1,000 untuk menampung keperluan jika berlaku kecemasan.

Di samping itu, 47% responden sebenarnya hidup bergantung kepada pinjaman kad kredit.
Angka-angka sedemikian cukup menggusarkan, seandainya kita menyelak lagi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dibentang pada 28 April 2017. Daripada 14.7 juta populasi penduduk umur bekerja (umur 15-64 tahun) pada tahun 2016, seramai 504,100 adalah penganggur. Jika diimbas

Laporan Tahunan Bank Negara yang dibentangkan pada tahun 2016, kadar pengangguran belia (umur 15-24 tahun) telah mencecah 10.7% pada tahun 2015. Malah, 61% penganggur terdiri daripada belia.

Namun apakah tawaran PH untuk mereka, yang masih gagal mencari rezeki selepas seminggu dibuang kerja? Mengapa belia kita gagal menempah tempatnya dalam bidang kerjaya – apakah daya saing mereka yang terhakis, atau peluang pekerjaan yang berkurang?

Itu belum lagi masuk bab pengangkutan dan perumahan. Jauh lagi apabila belia itu cukup dewasa untuk mendirikan rumah tangga. Bagaimana sepasang suami-isteri mengimbangi, antara tekanan ekonomi dengan ruang dan masa untuk menemani anak-anaknya. Kualiti hidup menurun jika kesempitan wang. Tetapi jikalau kedua-dua ibu-bapa bekerja, malah ditambah dengan kerja sampingan sebagai pemandu Uber, penjual nasi lemak, anak-anak pula terbiar dan membuka ruang untuk masalah sosial.

Kesemua ini berlaku dalam satu kitaran dan kesannya ditanggung semua. Senang kita menuding jari kepada budaya Barat apabila penyakit sosial merebak, padahal wabak sosial berpunca daripada kegagalan kita menguruskan ekonomi. Bukankah masalah sosial yang kita baca sebagai berita sensasi dari media, berpunca dari kepincangan dan kebobrokan sistem negara kita? Cuma, mengapa ia kekal sebagai masalah sosial, yang gagal dikaitkan dengan politik yang perlu kita reformasikan?



Tiada ulasan: