HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Oktober 2017

'Kata kunci' dalam ucapan bajet Najib?

MALAYSIAKINI


BAJET 2018 | Dengan pilihan raya umum ke-14 semakin hampir, maka ucapan bajet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  membuka peluang kepadanya untuk menarik perhatian rakyat melalui ucapan tersebut.

Seperti pada tahun sebelumnya, Malaysiakini mengambil peluang itu untuk mengira kata kunci tertentu yang digunakan untuk mengukur fokus ucapan tersebut.

Berikut adalah penemuannya, berdasarkan teks rasmi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sejurus selepas ucapannya disampaikan.

Masyarakat India Malaysia dapat lebih perhatian

Masyarakat India lebih kerap disebut dalam ucapan Najib berbanding bajet terdahulu.

Bagu setiap 1,000 perkataan dalam ucapannya sebanyak 11,415 perkataan itu (tidak termasuk tajuk kecil, formaliti dan salam), kaum India disebut 1.2 kali berbanding hanya 0.5 kali pada tahun lepas.

Rekod sebelumnya ialah 0.7 kali untuk setiap 1,000 perkataan dalam ucapannya dalam bajet 2013, yang kemudiannya menjadi tahun pilihan raya diadakan.


Ini bukan saja termasuk ucapan perayaan Deepavali dalam ucapan bajet 2018, tetapi juga peruntukan RM50 juta untuk 35,000 usahawan India, dan RM50 juta lagi untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat tersebut.

Di samping itu, Najib mengumumkan bahawa Permodalan Nasional Bhd akan mengagihkan 1.5 bilion unit Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat itu, dan ini akan disokong oleh dana RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Bumiputera juga disebut lebih sedikit dalam ucapan tahun ini, tetapi kiraannya tetap tidak berubah untuk masyarakat Cina dan masyarakat Orang Asli.

Sabah, Sarawak kembali dalam agenda

Sabah dan Sarawak telah disebut dengan kekerapan yang semakin meningkat dalam ucapan bajet Najib menjelang pilihan raya umum 2013 sehingga pilihan raya negeri Sarawak 2016, dan selepas itu berkurangan dalam ucapan bajet 2017 yang dibentangkan tahun lepas.

Bagaimanapun, dengan pilihan raya umum ke-14 semakin hampir, kekerapan sebutan kedua-dua negeri itu meningkat semula dan pada tahap yang sama dengan ucapan bajet 2014.
 
Lebih menggigit, kurang puji diri

Tahun lepas, Malaysiakini melaporkan bahawa ucapan bajet Najib menjadi semakin berbaur politik dan tahun ini tidak terkecuali. Bagaimanapun, terdapat satu anjakan fokus.

Tahun lepas, Najib sering membuat rujukan kepada "Barisan Nasional", biasanya dalam konteks memuji "kerajaan Barisan Nasional" dan pada yang sama menyerang pembangkang dan "parti-parti" tertentu.

Pada tahun ini, sebutan BN menjadi jarang, sementara ada bertambah sedikit rujukan (biasanya negatif) terhadap pembangkang.

Beberapa kaveat

Seperti pada tahun sebelumnya, analisis ini berdasarkan kepada ucapan yang disediakan dan tidak termasuk kata-kata tambahan yang mungkin disebut oleh Najib.

Di samping itu, nampaknya terdapat perbezaan antara teks Bahasa Inggeris rasmi dan teks rasmi bahasa Melayu.

Sebagai contoh, edisi Melayu mengandungi kenyataan Najib yang dilihat sebagai respons terhadap serangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keturunan Bugisnya. Ini tidak ada dalam edisi bahasa Inggeris.

Tiada ulasan: