Ahli PAS perlu mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ingin melihat perubahan dalam politik, kata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Seperti rakyat lain, katanya lagi, beliau percaya ahli PAS juga mengharapkan berlakunya peralihan kuasa dalam politik, seterusnya menyelesaikan masalah seperti kos sara hidup dan GST.
"Sudah tentu ahli PAS boleh berfikir bahawa mengundi PAS yang menyasarkan kemenangan 40 kerusi tidak mengubah, sebaliknya mengekalkan kuasa BN.
"Saya percaya ahli PAS juga sama seperti rakyat lain yang mengharapkan peralihan kuasa. Maka saya menyeru ahli PAS untuk menyokong dan mengundi HARAPAN, secara terbuka atau senyap," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika hadir ke Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) minggu lalu, Mahfuz berkata mana-mana ahli PAS, termasuk dirinya, tidak perlu keluar parti hanya kerana menyokong HARAPAN.
Ekoran sentiasa bersama-sama dalam program HARAPAN, PAS berkata Mahfuz yang pernah menjadi naib presiden parti tidak akan dicalonkan lagi pada PRU akan datang.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilaporkan berkata, parti itu menumpukan perhatian kepada PRU yang akan diadakan tidak lama lagi dan tidak mahu membuang masa memecat Mahfuz.
Menyambut baik kenyataan itu, Mahfuz berkata ia boleh dianggap sebagai petanda parti itu tiada masalah dengan sokongannya terhadap HARAPAN.
"Ia merupakan pendirian yang cukup matang, bermakna PAS tiada masalah untuk ahli parti lain mengundi HARAPAN bagi mengubah kuasa politik negara, tapi pada masa sama terus kekal sebagai ahli PAS," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan