HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Oktober 2017

Buktikan Wisma Tok Guru dibina guna wang derma penyokong PAS, kata Amanah Kelantan

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Buktikan waima lima sen jika benar bangunan Wisma Tok Guru dibina atas hasil sumbangan penyokong PAS, kata Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad.
Ujarnya, pemimpin dan penyokong PAS selama ini mendakwa bangunan tersebut dibina hasil wang derma, namun tidak pernah mengemukakan sebarang  bukti.

"Itu hanyalah satu persepsi daripada PAS, sehingga sekarang PAS tidak pernah membuktikan lima sen pun ada duit daripada ahli-ahli PAS untuk menyumbang ke arah bangunan tersebut.

"Mereka hanya membuat andaian tersebut berdasarkan oleh kerana YB Husam ini adalah ADUN Salor, jadi bila Husam bina bangunan itu, mereka beranggapan Husam telah membina bangunan tersebut melalui duit derma ahli PAS.

"Tetapi sehingga hari ini mereka tidak pernah membuktikan siapa yang pernah memberi sumbangan tersebut dan Husam sendiri tidak pernah menyatakan bangunan itu dibina hasil daripada sumbangan ahli PAS," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi kepada Antarapos beberapa hari lalu bahawa wisma tersebut dibina hasil derma daripada penyokong parti tersebut.

"Kita akan terus menggunakan Wisma Tok Guru itu sebagai satu pusat khidmat masyarakat untuk kita melaksanakan apa-apa aktiviti kita.

"Saya melihat notis tersebut ditujukan secara peribadi kepada Datuk Husam Musa, tidak ada satu patah perkataan pun di dalam notis tersebut ditujukan kepada parti Amanah.

"Yang dikatakan beri kepada Amanah Kelantan, biar dia buktikan sebab sehingga sekarang ini saya akui notis tersebut memang ada disampaikan kepada Husam Musa, tetapi bukan atas kapasitinya dia (Husam) sebagai mewakili Amanah Kelantan," ujarnya lagi.

Sebelum ini media melaporkan Amanah mungkin terpaksa mencari bangunan baru untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan Wisma Tok Guru berkenaan.

Ketegangan di antara PAS dan Amanah diburukkan lagi dengan insiden membabitkan penyokong kedua-dua parti di hadapan wisma itu, semalam.

Suasana kecoh berlaku sekitar jam 9, apabila Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan meminta izin daripada Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fazdli Shari untuk menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan yang berada di kawasan itu.

Namun, seorang wakil PAS tidak mengizinkan permintaan tersebut sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan antara penyokong kedua-kedua pihak.

Sebelum kekecohan tercetus, penyokong PAS bertindak memasang bendera PAS di luar bangunan berkenaan sebagai petanda bahawa tanah serta bangunan itu milik PAS.
  

Tiada ulasan: