HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Oktober 2017

Dua aktivis PPIM mengaku tak bersalah ceroboh kedai pajak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam  Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin didakwa di Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dan menceroboh sebuah pusat pajak kereta, Julai lalu.
 
Seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, Yusof, 27 dan Ali, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
 
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd.  di hadapan stor syarikat tersebut di Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13 di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
 
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa telah bersubahat melakukan pencerobohan jenayah secara bersama-sama di tempat dan tarikh yang sama kira-kira pukul 7.30 petang.
 
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
 
Kedua-dua tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
 
 

Tiada ulasan: